suria

Jangan Ambil Risiko Buat "Uji Kaji" Pada PRU13 - Abdul Rahman Dahlan

KUALA LUMPUR: Rakyat, khususnya orang Melayu dan bumiputera, diingatkan agar tidak mengambil risiko dengan menjadikan pilihan raya umum ke-13 sebagai 'uji kaji'.

Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata rakyat perlu mengamalkan politik yang cerdik dan matang serta tidak memperjudikan masa depan negara di tangan pembangkang.

"Secara ringkas kita hanya ada dua pilihan...sama ada kita akan bekerja kuat kekalkan kuasa dan berlaku adil kepada orang lain seperti kita buat selama ini, ataupun kita leka serahkan kuasa kepada orang lain dan kita berdoa orang lain berlaku adil kepada kita," katanya ketika membentangkan usul ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung Umno 2012, di sini Khamis.

Setiausaha Barisan Nasional Sabah itu juga berkata pakatan pembangkang tidak mempunyai jawapan atau strategi untuk Malaysia menghadapi cabaran globalisasi serta cabaran ekonomi dunia yang kian kompleks.

"Kalau pakatan pembangkang tidak ada jawapan saya minta mereka ketepi dan biarkan Barisan Nasional (BN) memberi jawapan kepada Malaysia," katanya.

Beliau juga turut mengusulkan setiap pemimpin dan anggota Umno serta komponen BN supaya melipatgandakan usaha menjuarai, merasai denyut nadi dan memenangi hati dan nurani rakyat. BERNAMA

Artikel Sebelum

Universiti Ketawa...

Artikel Lain