suria

Wanita Umno Siap Siaga Hadapi PRU13 - Shahrizat

Shahrizat Abdul Jalil. Foto NORAFIFI EHSAN / THE STAR
Shahrizat Abdul Jalil. Foto NORAFIFI EHSAN / THE STAR
Shahrizat Abdul Jalil. Foto NORAFIFI EHSAN / THE STAR

KUALA LUMPUR: Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mahu ahli sayap parti itu siap siaga menghadapi pengumuman tarikh pilihan raya umum ke-13.

Beliau berkata, ketika diambang pilihan raya Wanita Umno masih lagi tenang selepas semua persiapan yang telah dibuat.

“Wanita Umno satu pergerakan yang stabil walaupun tidak glamor. Inilah anugerah Allah kepada kita sebagai ibu. Saya lihat puan-puan semua amat tenang kerana saya percaya kita semua telah bersiap sedia. Ini mencerminkan kesiapsiagaan sebagai jentera menunggu sahaja pengumuman tarikh pilhan raya.

“Saya mahu wanita terus stabil dan senang hati walaupun apa sahaja ujian yang kita hadapi. Kitalah yang jadi 'hamba' kepada mereka yang mahu jadi calon kerana kita punya semangat setia kawan,” katanya ketika menyampaikan ucapan penangguhan sayap Wanita Umno di Dewan Perdagangan Dunia Putra (PWTC) pada Rabu.

Beliau turut menyeru media bersikap adil dalam melaporkan isu mengenai Wanita Umno.

“Media hari ini, terutamanya media sosial walaupun banyak manfaatnya, sering kali disalahgunakan untuk menjatuhkan orang lain, janganlah begitu. Jagalah maruah kerjaya anda.

“Kepada jentera, apabila pulang nanti teruskanlah perjuangan anda berlandaskan pelan tindakan yang telah dirangka.

“Sentiasalah bekerjasama dengan Puteri dan Pemuda. Mereka ini anak-anak kita dan janganlah bersaing dengan mereka,” katanya.

Shahrizat turut mengingatkan perwakilan Wanita Umno agar berpegang kepada empat perkara berikut: menyelesaikan perselisihan sesama ahli, belajar daripada kesalahan, bersatu sebelum menyuruh orang lain bersatu serta membaja ketelusan dalam perjuangan parti.

Artikel Lain