suria

Wanita Perak Mahu Universiti Umno Ditubuh

KUALA LUMPUR: Perwakilan Wanita Perak mencadangkan agar sebuah universiti Umno ditubuhkan bagi melahirkan lebih ramai pemimpin negara pada masa depan.

Ketua Wanita Bahagian Kampar, Datin Normah Hanum Ibrahim berkata, Umno perlu mengambil peluang ini bagi membentuk siswa-siswi berjiwa patriotik yang benar-benar sayangkan negara.

"Masa depan negara berasaskan kemajuan dalam pendidikan. Sehubungan itu kita perlu pupuk jiwa anak muda ini sejak dari universiti lagi.

"Umno perlu ambil peluang ini," katanya pada sesi perbahasan di Perhimpunan Wanita Umno pada Rabu.

Normah turut mencadangkan agar skuad sayang dijadikan sebuah badan yang berdaftar memandangkan Skuad Sayang semakin aktif dalam membantu masyarakat setempat.

Pada sesi perbahasan itu juga Normah turut membacakan doa agar Umno melalui jalan mudah menuju kemenangan dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Sementara itu, Perwakilan Wanita Pulau Pinang, Jumabi Mohamad pula meminta lebih banyak calon wanita pada PRU-13.

Beliau yang juga Ketua Wanita Umno Bagan berkata, wanita Umno mempunyai banyak calon yang berpengalaman yang mampu menjadi calon boleh menang.

"Perlu lihat juga kami ini, jangan hanya tengok pada orang muda, kami punya banyak pengalaman , sering dekat dengan rakyat dan lebih mudah untuk menang.

"Tetapi jika tidak dicalon, jangan pula ada yang sabotaj," katanya yang menghiasi perbahasannya dengan pantun dan dialek Pulau Pinang.

Katanya, PRU-13 ibu segala peperangan, justeru itu semua ahli perlu berjuang sehabisan bagi memenangkan parti.

Artikel Lain