suria

PRU-13: Khairy Kemuka Dua Perbandingan Pilihan Rakyat

Khairy Jamaluddin. Foto AZMAN GHANI / THE STAR
Khairy Jamaluddin. Foto AZMAN GHANI / THE STAR
Khairy Jamaluddin. Foto AZMAN GHANI / THE STAR

KUALA LUMPUR: Generasi muda diingatkan supaya membuat pilihan tepat pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan datang jika tidak mahu nasib dan masa depan negara tergadai.

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata, rakyat khususnya generasi muda yang merupakan pengundi teramai perlu memilih antara pihak yang berupaya menawarkan janji secara bertanggungjawab atau yang bersandarkan fantasi semata-mata.

Tegasnya demi mendapatkan kuasa, pembangkang hanya bijak menawarkan janji populis tanpa berpaksikan realiti kedudukan ekonomi negara.

"Pilihan masa depan pertama tawaran pihak lawan yang menawarkan janji populis puak pembangkang tanpa kenal sempadan.

"Mereka menawarkan masa depan yang berasaskan semuanya percuma atau hampir percuma. Bermula dari penurunan harga minyak sekiranya esok mereka berkuasa, penghapusan PTPTN dengan segera, pelupusan tol jalan raya, penurunan harga kereta malah pendidikan pun akan diberi semua percuma," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Ketua Pemuda pada Persidangan Pergerakan Pemuda Umno di sini, Rabu.

Selain itu menurut Khairy, kelemahan pembangkang menguruskan empat negeri iaitu di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan selepas pilihan raya umum 2008 cukup untuk membuktikan tahap kemampuan pakatan itu mengurus tadbir kerajaan.

Katanya di Selangor sahaja program yang dilaksanakan selepas pilihan raya umum 2008 gagal menunjukkan peningkatan yang baik terutama dalam memenuhi janji yang terkandung menerusi manifesto pembangkang.

"Di Selangor misalnya, apa jadi dengan Skim Tabung Anak Wawasan Selangor (Tawas) yang dicanang? Janji untuk beri simpanan tetap RM100 untuk setiap anak Selangor, ditempelak keras dalam Laporan Ketua Audit Negara.

"Apa tidaknya, harapan nak ringankan beban keluarga punah berderai. Dalam 61 ribu permohonan, hanya 36 peratus sahaja diluluskan. Kalau ikut KPI saya, itu sudah gagal betul namanya. Ternyata, Tawas sudah tewas," katanya.

Justeru Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau mahu Pemuda Umno berkerja keras untuk terus mendekati golongan muda dan rakyat secara keseluruhannya bagi menjelaskan mengenai nasib yang bakal dihadapi sekiranya pembangkang berkuasa.

Katanya rakyat perlu terus diberi penerangan mengenai tranformasi yang dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk membawa negara ke arah masa depan yang lebih cerah.

"Berbeza dengan masa depan yang ditawarkan BN, memang pantang perjuangan kita menghancurkan negara dengan polisi populis melulu. Lantaran itu, masa depan yang kita tawarkan kepada rakyat berasaskan transformasi yang syumul, bukan reformasi jalanan bersalut janji.

"Kita arif benar, kelangsungan hidup bertonggakkan realiti. Masa depan yang dicorak kerajaan BN untuk rakyat bersandar kepada fakta dan penyelidikan. Kerajaan ini tidak meletakkan masa depan anak negara di meja perjudian kuasa seperti pakatan pembangkang," katanya.

Tambah beliau, BN menerusi pelbagai pelan transformasi berjaya mengurus tadbir sistem pentadbiran kerajaan, menstruktur ekonomi rakyat serta meneroka perkembangan teknologi maklumat.

"Kita lihat sahaja Pelan Transformasi Kerajaan (GTP). Kerajaan BN membuka telinga kepada segala rintihan dan suara berat rakyat. Kos sara hidup kita tangani, rasuah kita perangi, pendidikan kita perluaskan dan kadar jenayah seluruh negara kita turunkan.

"Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) pula melihat Malaysia menjadi sebuah negara yang stabil dan maju dalam kancah kemelesetan ekonomi dunia," katanya.

Artikel Lain