suria

Polis Buru Empat Lelaki Samun Pusat Refleksologi

KUALA LUMPUR: Polis sedang memburu empat suspek yang dipercayai terbabit dalam kegiatan samun dan rogol di sebuah pusat refleksologi di Setapak Ahad lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, salah seorang daripada suspek yang bersenjatakan parang menahan dan mencederakan dua lelaki yang merupakan penjaga premis, manakala dua lagi suspek bertindak merogol dua pekerja wanita.

"Kedua-dua penjaga warga tempatan berkenaan dicederakan di bahagian telinga dan pekerja wanita warganegara Vietnam berkenaan pula dirogol.

"Kita percaya seorang lagi suspek menunggu di bahagian bawah premis bagi menjaga keadaan sekeliling," katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur pada Rabu.

Dalam kejadian itu, premis tersebut yang beroperasi secara sah turut mengalami kerugian keseluruhan lebih RM3,000 seperti peralatan kedai termasuk wang tunai bernilai RM1,000 dilarikan suspek, katanya.

"Kesemua suspek merupakan lelaki tempatan berumur lingkungan 20-an manakala penjaga premis dan wanita Vietnam itu juga berusia 20-an," katanya.

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup, polis berjaya mengenal pasti dua suspek dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana menyamun dan Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol. - BERNAMA

Artikel Lain