suria

Perwakilan Wanita Kedah Rayu Presiden Umno Kembalikan Jawatan Shahrizat

KUALA LUMPUR: Perwakilan Wanita Kedah merayu kepada Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak agar mengembalikan jawatan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil ke kedudukan sewajarnya selepas pilihan raya umum akan datang.

Halidah Putih berkata, Wanita Umno sangat sayang kepada Shahrizat kerana beliau merupakan seorang ketua yang cukup gigih tanpa kenal erti jemu dalam memperjuangkan hak wanita di dalam mahupun di luar parti.

"Saya merayu kepada Datuk Seri Najib... Datuk Seri, kami sayang Ketua Wanita Umno Malaysia. Tolong kembalikan, jawatan ketua kami di mana yang sewajarnya.

"Beliau berjuang tidak mengira waktu, masa. Tak kira apa jawatan pun... Waima beliau tidak ada jawatan pun, Shahrizat seorang yang cukup gigih.

"Kita merayu, tolonglah, berilah peluang dan berikan kembali kedudukan kepada Shahrizat, selepas pilihan raya umum ke-13 di tempat yang sewajarnya" katanya ketika menyampaikan ucapan menyokong ucapan dasar Ketua Wanita pada sesi perbahasan sayap parti itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Rabu.

Shahrizat melepaskan jawatannya sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat selepas dikaitkan dengan isu Perbadanan Fidlot Nasional (PFN) yang diterajui oleh suaminya, Datuk Seri Mohd Salleh Ismail.

Bagaimanapun beliau kekal sebagai ketua Wanita Umno.

Sementara itu, Perwakilan Wanita Umno Selangor, Mesrah Selamat menegaskan pihaknya akan terus menyokong dan mempertahankan kepimpinan Shahrizat "hingga titisan darah yang terakhir" walaupun sayap itu berdepan dengan pelbagai "serangan" daripada dalam dan luar parti.

"Jangan bimbang... Demi apa? Demi cinta dan perjuangan kami rela mempertahankannya dengan apa cara sekalipun. Insya-Allah," ujarnya.

Artikel Lain