suria

Peniaga Cina Takut Sertai Tukar Kerana Maklumat Tidak Jelas

BERA: Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ramai peniaga kaum Cina beranggapan bahawa Projek Transformasi Kedai Runcit (Tukar) membebankan mereka.

Katanya setakat ini kurang 10 peratus peniaga kaum itu menyertai projek Tukar.

"Peniaga Cina takut menyertai projek Tukar kerana mereka tidak mendapat penjelasan tepat mengenainya kerana sebelum ini semua maklumat disampaikan di dalam Bahasa Melayu.

"Sehubungan itu, kita akan kerap turun padang bagi menjelaskan kedudukan sebenar kepada peniaga terbabit tentang hasrat murni kerajaan untuk membantu peniaga tanpa mengira kaum dan agama," katanya selepas majlis penerangan dan berdialog dengan peniaga Cina di Bandar Triang, di sini, malam Selasa.

Program Tukar merupakan Projek-projek Permulaan (EPP) yang bertujuan memodenkan operasi kedai runcit tradisional bagi meningkatkan daya saingan dalam persekitaran perniagaan peruncitan yang kompetitif.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata kerajaan menambah peruntukan sebanyak RM8 juta kepada dua buah koperasi bagi membantu meningkatkan bilangan peniaga Cina dalam projek tersebut, tahun ini.

Ismail Sabri berkata koperasi terbabit ialah Koperasi Jaya Diri Malaysia Bhd dan Koperasi Peralihan Usahawan Bersatu Cina.

"Kita berharap dua buah koperasi ini dapat membantu kita menyampaikan maklumat Tukar dalam Bahasa Cina kepada peniaga-peniaga lain dengan lebih jelas," katanya.

Jelas beliau, peniaga yang menyertai projek Tukar tidak semestinya perlu menjual produk 1Malaysia kerana ia terpulang kepada peniaga itu sendiri untuk menjual barangan lain, di premis mereka.

"Cuma yang membezakan ialah cara pentadbiran dan pengurusan perniagaan dapat dipertingkatkan ke tahap yang lebih baik dan sistematik," katanya. BERNAMA

Artikel Lain