suria

Penganggur Dan Remaja Didakwa Samun Kerani Akaun Wanita

PETALING JAYA: Seorang penganggur dan remaja lelaki berusia 17 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan samun berkumpulan terhadap seorang kerani akaun pada 17 November lepas.

Muhammad Arif Jaffar, 19, dan remaja tersebut, didakwa melakukan kesalahan itu terhadap Chong Siew Mee, 40, dengan merampas beg tangan mangsa yang mengandungi surat, kunci rumah, telefon bimbit, dokumen, buku cek dan wang tunai RM500.

Kedua-dua lelaki itu didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan SS 26/2 Kelana Jaya, pada 7.15 pagi, dan didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.

Hakim Suraiya Mustafa Kamal membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya sekali sebulan sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 20 Disember depan untuk sebutan semula kes. - BERNAMA

Artikel Lain