suria

Pemuda Umno Rancang Bina Akademi Kepimpinan Latih Pemimpin Palapis

KUALA LUMPUR: Pemuda Umno bercadang mewujudkan sebuah akademi di Sabah bagi melatih pemimpin pelapis pergerakan itu, kata Ketuanya Khairy Jamaluddin pada Rabu.

Beliau berkata institusi itu yang bakal dikenali Akademi Kepimpinan Kapten Hussein (AKHI) sempena nama Ketua Pemuda Umno yang pertama, akan mengguna pakai kurikulum politik yang bersesuaian dengan cabaran dan landskap politik masa kini.

"Saya impikan penubuhan akademi ini di Sabah, negeri yang mana walaupun bongsu dari segi penubuhan Umno, tetapi telah menjadi antara kubu kuat parti kita.

"Ini untuk menjadi legasi kita dalam membina kepimpinan masa akan datang," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar bertajuk 'Antara Dua Masa Depan' pada Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda Umno 2012, di sini.

Khairy juga berharap Pemuda Umno akan terus membakar semangat generasi muda dan menawarkan kepimpinan intelektual, di samping terus mengukuhkan peranan sebagai ejen penyelesaian dan pencetus idea kepada kerajaan, agar generasi akan datang terus mendapat manfaat.

"Kita ini kalau kurang berfikir rajin membangkang, sampai bila-bila pun di baris belakang," katanya.

Menyentuh mengenai Makmal Generasi Muda yang telah diwujudkan tiga tahun lepas, Khairy berkata makmal itu telah membantu sayap tersebut menjana cadangan bernas dalam perencanaan dasar negara.

"Pelbagai saranan telah dirumus merangkumi pelbagai aspek seperti perumahan, pendidikan, transformasi undang-undang melalui pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) serta rombakan Akta Universiti danm Kolej Universiti (AUKU)," katanya. BERNAMA

Artikel Lain