suria

Lima Maut, Enam Cedera Dalam Nahas Dekat Plaza Tol Slim River

SLIM RIVER: Lima maut manakala enam yang lain cedera dalam kemalangan yang membabitkan sebuah kenderaan MPV dan lori yang membawa muatan beras di Km 372.1 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran plaza tol Slim River pada 7 pagi Selasa.

Mereka yang maut ialah Poh Hock Huat, 60, dan Juvien Chim Yu Xuan, 12, dari Taman Transkrian, Nibong Tebal, Pulau Pinang; Pang Lee Si, 35, Taman Serdang, Serdang, Kedah dan Daphine Eng Yuik Yee, 14, dari Bagan Selatan, Butterworth, Pulau Pinang; Heng Choon Tee, 33, dari Butterworth.

Mangsa yang maut merupakan sebahagian daripada 11 penumpang yang berada di dalam kenderaan MPV jenis Hyundai Starex yang dalam perjalanan menuju ke Muar, Johor dari Parit Buntar untuk membuat persembahan di satu majlis di sana.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tanjung Malim DSP R.Supramaniam berkata, kenderaan MPV berkenaan telah melanggar bahagian belakang lori 12 tan yang membawa muatan beras ketika lori itu berhenti di lorong kecemasan laluan lebuh raya.

"Lori yang sedang dalam perjalanan dari Jitra, Kedah untuk menuju ke Sungai Buloh, Selangor itu berhenti di lorong kecemasan kerana mengalami tayar pancit," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Tanjung Malim di sini Selasa.

"Kenderaan MPV itu telah melanggar belakang lori berkenaan sebaik sahaja lori itu diparkir di lorong kecemasan, belum sempat kelindan lori meletakkan kon keselamatan bagi mengelak kejadian nahas," tambahnya.

Mangsa yang cedera pula ialah Bu Wei Hong, 58, dan Heng Ah Lee, 60, dari Bagan Selatan Butterworth, Pulau Pinang yang mendapat rawatan segera di Hospital Slim River selepas masing-masing mengalami pendarahan di bahagian paru-paru dan pendarahan yang banyak.

Sementara itu Chong Soon Choy, 61, dari Taman Desa Damai, Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan Lim Tau Hong, 5, masing-masing dirawat di Wad Ortopedik dan Wad Pediatrik hospital yang sama.

Dua lagi penumpang iaitu Ho Seok Yi, 18, dari Batu 14, Telok Medan, Bagan Serai, Perak dan Goey Wen Ni, 16, dari Taman Nibong Tebal Jaya, Pulau Pinang dibenarkan pulang selepas dirawat sebagai pesakit luar.

Kesemua penumpang kenderaan Starex itu sedang dalam perjalanan untuk membuat persembahan di sebuah tokong di Muar, Johor.

Supramaniam berkata, kejadian berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Pihak polis meminta mereka yang melihat kejadian berkenaan untuk memberitahu kami bagi siasatan lanjut dengan menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Mohd Azrul Tawni di talian 05-4528 222," katanya. - BERNAMA