suria

K'jaan Disaran Lihat Semula Masalah Hutang Golongan Muda

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran untuk melihat semula masalah golongan muda yang terjerat dengan isu hutang sehingga diisytihar bangkrap.

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin ketika membuat saranan itu, berkata 32 peratus dari 120 kes bangkrap sejak 2005 hingga kini, melibatkan golongan muda dan keadaan itu menyukarkan mereka meneruskan kehidupan kerana disenarai hitam.

Oleh itu, Pemuda Umno meminta kerajaan menjadikan prosedur pelepasan kebankrapan lebih mudah dengan mengurangkan tempoh masa untuk mereka yang disiytihar bangkrap memohon pelepasan, katanya dalam ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda Umno 2012 di sini Rabu.

Beliau berkata golongan muda yang terlibat dalam masalah itu juga harus dibantu dengan memberi pendidikan tentang pengurusan kewangan.

"Dalam kes tertentu bayaran cukai boleh ditangguh dan bantuan kewangan diberi kepada usahawan untuk mengelakkan kebangkrapan," katanya.

Dalam ucapan dasar itu, Khairy turut meminta kerajaan merombak semula dasar kebajikan daripada segi jumlah yang diberi dan kelayakan pemohon bagi memastikan hasrat kerajaan dalam memberi pertolongan benar-benar tercapai.

Khairy turut menyentuh mengenai program Bantuan Lesen 1Malaysia (BL1M) Pemuda Umno untuk membantu golongan muda yang tidak berkemampuan mendapatkan lesen menunggang motosikal.

Beliau berkata program itu menawarkan kursus memandu pada kadar RM199 iaitu 50 peratus lebih rendah daripada harga biasa.

Program itu diwujudkan berikutan kajian Sekretariat Hal Ehwal Bandar Pemuda Umno yang mendapati lebih 200,000 penunggang motosikal terutama di kalangan orang muda menunggang tanpa lesen.

"Mereka mungkin tidak ada lesen kerana kecuaian sendiri, atau mungkin kos untuk mendapatkan lesen terlalu tinggi. Ramai di kalangan mereka sudah didapati bersalah oleh mahkamah kerana menunggang tanpa lesen, manakala ada juga yang hidup ketakutan kerana waran tangkap sudah keluar.

"Keadaan ini tidak boleh berterusan...kita kena terima hakikat bahawa ramai yang mengalami nasib ini sebab tidak mampu membayar kos mendapatkan lesen memandu," katanya. BERNAMA

Artikel Lain