suria

Kes Warga Pakistan Dituduh Bunuh Ejen Hartanah Disebut Semula 9 Januari

PETALING JAYA: Mahkamah Majistret di sini menetapkan 9 Januari depan untuk sebutan semula kes seorang lelaki warga Pakistan yang menghadapi pertuduhan membunuh seorang ejen hartanah di Ara Damansara, di sini empat bulan lalu.

Majistret Nazri Omran menetapkan tarikh itu bagi membolehkan Timbalan Pendakwa Raya Saphirra Selamat mendapatkan laporan kimia dan bedah siasat.

Ishtiaq Ahmad Khan, 25, didakwa membunuh Tang Yong Ching, 45, di F-2-2A, Blok F, Pejabat Taipan 1, Jalan PJU 1A-3N, Ara Damansara, di sini, antara 4 petang hingga 11 malam, 5 Julai lalu.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga menghadapi tiga lagi pertuduhan iaitu menipu dua wanita dan seorang lelaki pada Julai lepas.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu dengan menggunakan sekeping kad debit sehingga mendorong mangsa menyerahkan dua buah komputer riba dan sayur-sayuran dalam tiga transaksi di dua pasar raya di Damansara, di sini, di antara 5 Julai dan 6 Julai lalu. - BERNAMA