suria

Kebakaran Di Kampung Beca: Lapan Sekeluarga Tinggal Sehelai Pinggang

TELUK INTAN: Lapan sekeluarga tinggal sehelai sepinggang apabila rumah papan yang mereka diami sejak 10 tahun lepas hangus dijilat api dalam satu kebakaran di Kampung Beca, Jalan Sungai Nibong di sini, Selasa.

Ketua Operasi dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Teluk Intan, Hairani Kasran berkata, ketika tiba di lokasi kejadian, pihaknya mendapati separuh daripada rumah itu hangus dan mereka mengambil masa 30 minit untuk mengawal serta memadamkan api.

"Kita masih menyiasat punca kebakaran, dan kerugian dianggarkan sebanyak RM70,000 termasuk RM3,000 wang tunai turut hangus dijilat api," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan pada 11.10 pagi dan dua jentera dengan kekuatan tujuh anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

Mangsa kebakaran, Ahmad Awang, 75, berkata ketika kejadian, beliau bersama isterinya, Jamaliah Said, 50, keluar bekerja di kawasan Padang Speedy di sini.

"Kebakaran dipercayai berpunca daripada pembakaran sampah di luar rumah, yang telah menyambar bilik rumah saya," katanya.

Ahmad berkata, beliau dan keluarga belum dapat memastikan di mana mereka akan menumpang untuk berteduh buat sementara waktu, namun tidak menolak jika jiran berhampiran menawarkan bantuan.

Sementara itu, Aiman Ahmad, 14, berkata, beliau sedang menonton televisyen apabila tiba-tiba terhidu bau hangit dan nampak api sedang marak.

Beliau terus menyelamatkan ibu saudaranya, Hendon Awang, 80, yang lumpuh kedua-dua kaki dengan membawanya keluar daripada rumah itu.

"Saya hanya sempat menyelamatkan beberapa barang keperluan kerana ketika itu, api sedang marak," kata pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan St Anthony itu.

Aiman juga berkata ketika kejadian, empat adik-beradiknya yang lain tidak ada kerana ke rumah jiran berhampiran. - BERNAMA

Artikel Lain