suria

BN Yakin Pertahan Perak - Dr Zambry

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) yakin dapat mempertahankan Perak pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, kata Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Beliau berkata, keyakinan itu berdasarkan kejayaan strategi yang dilaksanakan oleh BN sepanjang lebih tiga tahun memerintah negeri itu.

"Insya-Allah, apabila diberi amanah untuk mengepalai negeri ini, tentu kita mempunyai strategi taktikal, peralatan perang dan sebagainya, dan BN yakin dapat mempertahankan kedudukannya di Perak," katanya kepada pemberita di luar Perhimpunan Agung Umno 2012 di sini Rabu.

Zambry berkata, Umno dan BN Perak kini berada di peringkat persiapan akhir menghadapi PRU yang bakal diadakan bila-bila masa.

"Kalau Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak umum pilihan raya akan diadakan esokpun, kita sudah bersedia menghadapinya," tegasnya.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, kemenangan BN di Perak akan ditentukan oleh undi daripada semua kaum, bukan kaum tertentu sahaja.

Mengenai undi kaum Cina, beliau menjelaskan: "Keadaan di Perak berbeza dengan negeri lain. Kita tidak boleh buat tahap pengundian masyarakat Cina secara umum, ada yang tinggal di bandar dan ada yang tinggal di desa."

Zambry berkata, beliau melihat sokongan masyarakat Cina terhadap BN ketika ini adalah baik.

Menyentuh soal calon BN yang akan bertanding pada pilihan raya umum, beliau berkata, penyediaan senarai calon kini berada di peringkat akhir, dan penilaian secara berterusan akan dilakukan sehingga waktu pilihan raya.

Ditanya mengenai muka baru, beliau berkata, BN Perak akan mengetengahkan kira-kira 40 hingga 50 peratus muka baru pada PRU kali ini.

Mengenai sama ada beliau akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri Pangkor atau berpindah ke Parlimen, Zambry berkata segala-galanya bergantung kepada keputusan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Setakat ini, arahan yang diterimanya daripada Najib adalah untuk mengepalai jentera pilihan raya Perak bagi menghadapi PRU, katanya.

BN Perak dan pakatan pembangkang masing-masing kini mempunyai 28 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri, manakala tiga lagi kerusi dewan undangan negeri disandang anggota Bebas. - BERNAMA

Artikel Lain