suria

Perhimpunan Agung Umno: Perwakilan Diingat Bersatu-Padu Tanpa Niat Khianati Parti

KUALA LUMPUR: Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, setiap perwakilan yang hadir pada Perhimpunan Agung Umno kali ini perlu berhimpun dengan bersatu-padu tanpa ada sebarang niat untuk mengkhianati parti.

Beliau berkata, menjelang pilihan raya umum, kesepaduan di kalangan anggota perwakilan menjadi perkara paling penting kerana ia akan menentukan survival parti pada masa hadapan.

"Jangan ada yang sabotaj parti dan mengkhianati perjuangan kita. Inilah detik yang penting dan masanya kita semua akan diuji," katanya kepada pemberita di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Selasa.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas rumusan taklimat tertutup oleh Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak yang disampaikan kepada perwakilan.

Menurut Hishammuddin, presiden parti turut menegaskan bahawa masa depan parti terletak bukan sahaja di tangan ahli-ahli tetapi juga rakyat.

Justeru, beliau berkata, setiap perwakilan perlu berhimpun dengan niat baik dan bekerja keras demi memastikan masa depan parti terjamin.

"Kita mesti terima hakikat bahawa yang menentukan jatuh bangun parti bukan ahli sahaja tetapi rakyat di luar sana. Itu realiti dalam memastikan survival parti.

"Setiap anggota perwakilan perlu bekerja keras dan turun padang, bukan bekerja di dalam dewan sahaja untuk masa depan bangsa dan anak cucu cicit kita," ujarnya.

Sambil menyifatkan perhimpunan kali ini sebagai bukan perhimpunan biasa, beliau turut meminta supaya setiap perwakilan dan pemimpin bekerja keras untuk masa depan parti dan rakyat sentiasa cerah.

"Kita kena bekerja bersungguh-sungguh kalau betul-betul kita sayangkan parti. Berhimpun dengan niat baik dan dengan kesungguhan yang senada," tegasnya.

Perhimpunan Umno 2012 bermula 27 November dan bakal berakhir pada 1 Disember ini.

Seramai 4,447 perwakilan dijangka hadir dalam perhimpunan yang berlangsung selama lima hari.

Artikel Lain