suria

Perhimpunan Agung Umno, Landasan Pemuda Perkasa Jentera PRU13

KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda Umno mesti menjadikan Perhimpunan Agung Umno 2012 sebagai landasan untuk meledakkan semangat perang berjuang habis-habisan bagi memenangi minda dan hati pengundi muda serta pemilih atas pagar dalam pilihan raya umum akan datang.

Bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 (PRU-13), yang akan diadakan bila-bila masa sahaja, anggota perwakilan Pemuda Umno seharusnya dapat mencambah fikiran untuk merangka dan memperkasa strategi, sekaligus menterjemahkan sokongan generasi muda kepada Umno dan Barisan Nasional (BN).

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin tegas mengingatkan para perwakilan perhimpunan sayap Pemuda Umno nanti agar membekalkan diri dengan hujah yang akan disampaikan pemimpin dan mesej kepada rakyat.

"Hujah ini kekuatan kepada kita (Pemuda) dan perlu kita bawa balik ke kawasan masing-masing bagi kita sebarkan kepada rakyat. Ini pentas keramat, saya beri kebebasan (berbahas) jadi mereka perlu beri cadangan yang bernas dan jangan terlalu beretorik.

"Kita (Pemuda) harus menggunakan peluang ini untuk memberitahu dunia luar bahawa Perhimpunan Agung Umno bukan untuk ahli kita atau perwakilan sahaja tetapi tujuannya untuk menghantar mesej dan isyarat yang jelas kepada rakyat iaitu Umno komited untuk berkhidmat demi rakyat," katanya kepada Bernama.

Perhimpunan Umno akan dimulakan dengan Persidangan Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri esok di Pusat Dagangan Dunia Putra.

Setiap sayap akan diwakili 991 anggota, manakala Perhimpunan Agung Umno Khamis ini akan mengumpulkan 2,759 anggota yang akan bersidang sehingga 1 Disember. -BERNAMA

Artikel Lain