suria

Pembangkang Saling Bercakaran, Gagal Kerjasama - Muhyiddin

Muhyiddin ketika berucap pada majlis perasmian serentak Persidangan Pemuda, Wanita dan Puteri Umno. Foto FAIHAN GHANI / THE STAR
Muhyiddin ketika berucap pada majlis perasmian serentak Persidangan Pemuda, Wanita dan Puteri Umno. Foto FAIHAN GHANI / THE STAR
Muhyiddin ketika berucap pada majlis perasmian serentak Persidangan Pemuda, Wanita dan Puteri Umno. Foto FAIHAN GHANI / THE STAR

KUALA LUMPUR: Gabungan PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pakatan pembangkang ternyata tidak berpaksikan kepada amalan perkongsian kuasa yang sebenar kerana tiada sikap saling mempercayai antara mereka.

Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pembangkang sentiasa bercakaran sesama sendiri kerana masing-masing mempunyai ideologi yang berbeza.

"​PAS dan DAP masih tebal dengan sentimen kaum dan agama. Mereka masih sangat berbeza dari segi ideologi dan pendirian politik. Setelah bertarung sesama sendiri, kini PAS dan DAP melakonkan sebuah pengkisahan kerjasama politik yang cuba ditiru daripada kejayaan Barisan Nasional.

"Hakikatnya, watak-watak dan pelakon utama semuanya mahu menguasai plot dan jalan cerita, serta menjadi teraju. Sehingga ke hari ini PAS dan DAP sentiasa bersengketa, bertelagah dalam tiap perkara, dan bercakaran kerana ideologi yang jelas berbeza," katanya ketika berucap pada majlis perasmian serentak Persidangan Pemuda, Wanita dan Puteri Umno di sini, Selasa malam.

Justeru, Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, rakyat perlu terus memberikan mandat kepada Barisan Nasional (BN) untuk memerintah negara dengan aman tanpa diporak-perandakan pembangkang.

Tegas beliau, mandat yang diberikan rakyat kepada pembangkang untuk memerintah di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan selepas Pilihan Raya Umum 2008 merupakan hikmah yang mendedahkan sikap mereka yang tidak boleh bekerjasama dan berkongsi kuasa.

"Satu sebab yang paling utama ialah tiadanya sikap saling mempercayai antara mereka. PKR tidak percaya kepada DAP, DAP tidak percaya kepada PKR, dan kedua-dua DAP dan PKR tidak percaya kepada PAS.

"Cuba bayangkan, jika masing-masing tidak percaya antara satu sama lain, bolehkah pembangkang bermuafakat sesama mereka? Bolehkah pembangkang memerintah negara dengan aman? Bolehkah pembangkang membawa kesejahteraan kepada rakyat? Boleh atau tidak saudara-saudari?

"Jika tidak jawapannya, pastikan kemenangan berpihak kepada kita dalam pilihan raya nanti. Jangan kita serahkan negara kita ini untuk diporak-perandakan oleh pembangkang," katanya.

Mengambil contoh peranan PAS dan pakatan pembangkang, Muhyiddin berkata, parti itu sebenarnya tidak berupaya untuk menegakkan Islam kerana mereka tiada tempat di kalangan DAP dan PKR.

Katanya, kedudukan PAS yang lemah dalam pakatan pembangkang ternyata tidak mungkin untuk mereka menegakkan Islam seperti yang diperjuangkan mereka.

"Mungkin PAS akan mengatakan kepada kita tidak mengapa bertanding sejumlah kerusi yang kecil, kerana nanti Ahli Parlimen PKR dan DAP akan menyokong mereka untuk menegakkan Islam. Janganlah bermimpi di siang hari. Janganlah berbohong kepada pengundi.

"Takkanlah DAP yang rasis lagi cauvinis, takkanlah PKR yang rosak lagi merosakkan, akan menyokong usaha PAS untuk menegakkan Islam. Cukuplah. Cukuplah sepanjang 12 kali pilihanraya, 12 kali PAS berbohong kononnya parti itu berjuang untuk menegakkan Islam. Janganlah kita biarkan PAS berbohong lagi untuk kali ke-13," katanya.

Artikel Lain