suria

Muhyiddin Seru Sayap Umno Perkukuh Gerak Kerja

Muhyiddin ketika berucap pada majlis perasmian serentak Persidangan Pemuda, Wanita dan Puteri Umno. Foto AZHAR MAHFOF / THE STAR
Muhyiddin ketika berucap pada majlis perasmian serentak Persidangan Pemuda, Wanita dan Puteri Umno. Foto AZHAR MAHFOF / THE STAR
Muhyiddin ketika berucap pada majlis perasmian serentak Persidangan Pemuda, Wanita dan Puteri Umno. Foto AZHAR MAHFOF / THE STAR

KUALA LUMPUR: Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno diseru untuk terus mempertingkatkan gerak kerja di semua peringkat sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan datang.

Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jentera parti perlu bekerja dalam semangat berpasukan bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) terus dipertahankan.

"Pertingkatkan gerak kerja bagi memenangi pilihanraya. Sebagai barisan hadapan jentera parti, pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri adalah pasukan tahan lasak parti.

"​Gerakkan jentera di setiap peringkat. Pastikan mereka bersedia turun ke medan perang apabila semboyan dibunyikan. Atur strategi berkesan untuk menangi hati pengundi. Pujuklah mereka dengan penuh hikmah. Mudah-mudahan dengan izin Allah pintu-pintu hati mereka akan terbuka luas untuk menyokong Umno dan Barisan Nasional," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian serentak Persidangan Pemuda, Wanita dan Puteri Umno di sini, Selasa malam.

Selain itu Muhyiddin menegaskan bahawa perpaduan dalam parti merupakan asas penting untuk mencapai matlamat ke arah kemenangan BN.

"​Ingatlah, bahawa perpaduan dalam parti adalah kunci utama kemenangan kita. Apabila kita memilih untuk berada di atas landasan perjuangan Umno, kita bukan bekerja untuk diri kita, tetapi berjuang untuk agama, bangsa dan negara.

"Perjuangan ini tidak boleh kita lakukan secara bersendirian. Kita memerlukan sokongan dan dokongan rakan-rakan seperjuangan. Bekerjalah dalam semangat kesatuan hati, kesatuan fikiran, kesatuan matlamat dan kesatuan amal untuk meneruskan agenda perjuangan parti yang suci," katanya.

Tegas beliau lagi, Umno sebagai parti yang menjadi tulang belakang kepada kerajaan Barisan Nasional perlu meneruskan agenda untuk memepertahankan Islam, orang Melayu tanpa mengabaikan nasib kaum-kaum lain di negara ini.

"​Yakinlah bahawa kita berada di pihak yang benar. Matlamat Umno mempertahankan Islam, membela nasib bangsa Melayu, memelihara kedaulatan negara dan mensejahterakan rakyat tanpa mengira kaum dan agama adalah perjuangan suci yang kita galas hingga ke saat ini.

"Dengan asakan pelbagai dakyah songsang yang merungkai asas-asas agama, yang mencabar maruah bangsa, yang mengancam kedaulatan negara, maka landasan perjuangan suci Umno mesti kita perkukuhkan," katanya.

Artikel Lain