suria

Malaysian Standard Diterima Dan Diguna Pakai Di Peringkat Antarabangsa

KUALA LUMPUR: Malaysian Standard (MS) yang dibangunkan oleh Jabatan Standard Malaysia (Standards Malaysia) telah diterima, diguna pakai dan diaplikasi di peringkat antarabangsa termasuk negara yang bukan daripada Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Fadillah Yusof berkata Standards Malaysia juga adalah badan yang diiktiraf oleh International Standard Organisation.

Sehubungan itu, katanya program pembangunan standard halal dan MS sentiasa dijalankan dengan kerjasama daripada pelbagai pihak dari negara ini, dari rantau Asia dan benua lain bagi memastikan ia terus diterima.

"Sejak 2006, terdapat 34 buah negara OIC telah menjalani kursus MS manakala pada tahun ini (selain OIC), negara seperti Jepun, Belanda, India dan Filipina turut menjalani kursus yang sama.

"Ini bermakna mereka mengiktiraf, mengguna pakai malah ingin mempelajari dari segi teknik MS yang kita bangunkan untuk diaplikasi di negara mereka," katanya ketika menjawab soalan tambahan Hamim Samuri (BN-Ledang) di persidangan Dewan Rakyat Selasa.

Hamim dalam soalan asalnya meminta kementerian menyatakan peranan yang dimainkan Standards Malaysia dalam merealisasikan Malaysia sebagai pusat makanan halal.

Fadillah berkata pelbagai perjanjian dan kerjasama teknikal telah dimeterai di peringkat antarabangsa seperti yang dilakukan dengan Egyptian Organization for Standardization and Quality, Saudi Standard Metrology and Quality Organization dan Saudi Food and Drug Authority.

"Kenapa Arab Saudi, kerana negara itu dilihat sebagai peneraju OIC dan apabila Arab Saudi mengguna pakai SM kita, diharapkan negara dalam OIC turut mengambil langkah yang sama sebagai panduan di negara mereka," katanya.

Beliau juga berkata Standards Malaysia berperanan dalam membangunkan MS, mempromosikan penggunaannya dan menjalankan aktiviti akreditasi ke atas badan-badan penilaian pematuhan. BERNAMA

Artikel Lain