suria

BN Terbukti Parti Yang Berjaya Satukan Semua Bangsa - Tun Abdullah

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) adalah satu-satunya parti yang berjaya menyatupadukan semua bangsa walaupun berlainan agama dan fahaman politik, kata bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau berkata ini terbukti dengan keamanan yang dikecapi negara sejak bebas daripada penjajah dan kemudiannya dipimpin oleh pemimpin BN yang sentiasa komited memajukan bangsa dan negara.

"Kita (BN) mampu menghadapi serta menyelesaikan segala masalah seberapa segera sebelum ia menjadi parah. "Sesungguhnya konflik dan pertelingkahan tidak akan mengganggu gugat ketenteraman serta keamanan yang kita kecapi selama ini," katanya pada majlis makan malam meraikan peserta forum antarabangsa bertajuk 'Konflik dan Pendamaian Dalam Politik Rakyat: Menoleh Ke Belakang atau Memandang Ke Hadapan' di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.

Forum itu diadakan sempena Persidangan Agung Umno ke-66. Turut hadir Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Abdullah berkata Malaysia merupakan negara yang sentiasa berusaha melakukan pelbagai inisiatif penyatupaduan bangsa tidak kira dalam dan luar negara demi menjamin kerjasama untuk pembangunan ekonomi.

"Usaha ini memberikan satu kepuasan kepada negara walaupun melalui pelbagai halangan namun kita tetap teguh dan utuh dengan satu misi iaitu mencapai keamanan," katanya.

Beliau berkata kejayaan BN menjadikan negara ini contoh kepada negara lain pada aspek menyatupadukan penduduk berbilang kaum di bawah Gagasan 1Malaysia.

Majlis makan malam itu turut diserikan dengan pelbagai persembahan kebudayaan dan nyanyian termasuk joget lambak. -BERNAMA

Artikel Lain