suria

Tribunal Khusus Mengurus & Dengar Kes Pengurusan Strata Diwujudkan - Chor

KUALA LUMPUR: Sebuah tribunal khusus bagi mengurus dan mendengar kes mengenai pengurusan strata akan diwujudkan bagi membolehkan pihak tidak berpuas hati menyalurkan tuntutan berkaitan penyenggaraan dan pengurusan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Chor Chee Heung berkata Tribunal Pengurusan Strata itu mempunyai kuasa untuk memutuskan keseluruhan pampasan tidak melebihi RM250,000.

"Seperti yang kita telah wujudkan, Tribunal Tuntutan Perumahan di bawah kementerian, jika ada masalah yang dihadapi pembeli dan pemaju enggan ikut, tak nak bayar ganti rugi, semua pembeli boleh terus pergi ke tribunal tersebut. "(Dan) dulu, orang kata ramai pemilik kondominium tak nak bayar yuran selenggaraan, sebab mereka tahu jika perbadanan pengurusan nak tuntut bayaran itu, kena bawa ke mahkamah.

"Dan mahkamah seperti sedia maklum, akan menjadi lambat, sebab itu untuk mengelak masalah itu, satu tribunal akan diwujudkan di bawah akta ini. Segala tuntutan boleh diterima pakai dan diiktiraf oleh mahkamah," katanya ketika menggulung Rang Undang-undang Pengurusan Strata 2012, pada sidang Dewan Rakyat di sini, Isnin. Chor berkata bagi peringkat permulaan pelaksanaannya, tribunal tersebut akan ditubuhkan di peringkat kementerian.

Bagaimanapun, katanya kementerian bercadang untuk menubuhkan cawangan tribunal tersebut di setiap zon pada masa akan datang.

Katanya langkah itu adalah bagi memudahkan semua masalah rakyat dapat diselesaikan dengan baik dan berkesan serta kerajaan sentiasa memikirkan jalan terbaik untuk kesenangan setiap lapisan rakyat.

Persidangan bersambung esok. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Dedah Imej Sebenar PAS - PM

Artikel Lain