suria

Tingkatkan Kemampuan Sistem Kehakiman Bendung Rasuah - Tun Abdullah

KUALA LUMPUR: Sistem kehakiman negara perlu dihormati dan dipertingkatkan kemampuannya sekiranya negara mahu melihat korupsi dapat dibendung, kata mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau berkata sistem kehakiman negara perlu mempunyai pengaruh yang cukup besar dalam membendung masalah korupsi kerana hanya sistem kehakiman sahaja yang mempunyai keupayaan yang tinggi menangani masalah ini.

"Saya berharap sistem kehakiman dapat menjadi satu pengaruh yang besar dalam menangani isu corruption...sekiranya sistem kehakiman dapat dipertingkatkan kemampuannya maka tindakan yang diambil (menjatuhkan hukuman) mereka akan dipandang tinggi oleh masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menutup forum "Menghapuskan Rasuah: Dimanakah Kejayaan Kita?" Anjuran Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS), di sini, Isnin.

Abdullah berkata melalui undang-undang yang diluluskan sebelum ini ia perlu dilaksanakan dengan penguatkuasaan yang menyeluruh agar mereka yang terlibat dapat dibawa ke muka pengadilan. Pada sidang media beliau berkata sistem tadbir urus kehakiman perlu sentiasa diperbaiki dan ditambah baik agar ia sentiasa dipandang tinggi sebagai badan berintegriti.

"Kita tidak boleh kata our governance is the best (tadbir urus kita terbaik), kita perlu sentiasa perbaiki dan terus tambah baik. Dan pada pandangan saya ia perlu diperbaiki lagi," katanya.

Ditanya sama ada sistem kehakiman berada di tahap yang baik, Abdullah berkata sistem kehakiman negara pada masa sekarang sentiasa diperbaiki dan undang-undang yang diluluskan kerajaan sentiasa diguna pakai dalam sistem kehakiman negara.

"Saya yakin pada masa-masa akan datang akan ada lagi penambahbaikan dilakukan kerajaan untuk meningkatkan taraf sistem kehakiman negara," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Dedah Imej Sebenar PAS - PM

Artikel Lain