suria

Terap Budaya Keamanan - PM

KUALA LUMPUR: Masyarakat dunia digesa supaya menolak pendekatan atau prinsip mahu membalas dendam antara satu sama lain bagi memastikan keamanan dan kemakmuran global dapat dicapai.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sudah tiba masanya komuniti global mengambil langkah untuk memadamkan amalan tidak sihat seperti enggan bertoleransi, prejudis serta mementingkan diri dalam fikiran masyarakat agar amalan keganasan tidak berulang.

"Sebarkan budaya keamanan kerana saya berpendapat ia lebih penting kepada masyarakat.

"Jika masyarakat ingin keluar daripada bayang-bayang keganasan dan mahu membuat satu perubahan baru, ahli masyarakat perlu diterapkan dengan budayaan keamanan," katanya ketika merasmikan forum antarabangsa sempena Perhimpunan Agung Umno 2012 di sini, Isnin.

Selain itu Perdana Menteri menegaskan bahawa budaya keamanan merupakan sebahagian daripada nilai dan cara hidup dalam prinsip kebebasan, keadilan, demokrasi, bertolak ansur, perpaduan, menghormati antara satu sama lain dan persefahaman.

"Ia menyasarkan kepada individu. Tidak ada keamanan yang sebenarnya melainkan minda yang aman," katanya.

"Membudayakan keamanan juga perlu dilakukan oleh semua pihak termasuk organisasi dalam negara dan antarabangsa termasuk oleh komuniti dan pemimpin-pemimpin agama serta semua lapisan masyarakat seperti ibu bapa, keluarga, guru, artis, profesor, wartawan dan pelajar," katanya.

Dalam pada itu Najib berkata, menerusi amalan membudayakan keamanan juga Malaysia mengambil mengambil inisiatif membantu mencari pelan damai bagi menyelesaikan konflik yang berlarutan selama 40 tahun di selatan Filipina membabitkan Bangsamoro dan kerajaan Filipina.

Bagaimanapun katanya dalam usaha menghentikan konflik, kedua-dua pihak perlu bersetuju dan bersedia untuk berdamai ke arah mewujudkan keamanan.

"Selepas itu timbul persoalan bagaimana atau aspek teknikal ke arah pelan tersebut terutamanya dalam mencari pihak ketiga dan orang itu mestilah perantara yang benar-benar jujur. Dalam kes selatan Filipina, mereka mendapati ia adalah Malaysia.

""Dalam kes ini (konflik di selatan Filipina), kita menjadi perantara yang jujur dan kita mendapat kepercayaan kerajaan Filipina dan MILF (Barisan Pembebasan Islam Moro)," katanya.

Tambah beliau, kaedah penyelesaikan konflik melangkaui aspek ketenteraan sebaliknya turut merangkumi aspek politik, ekonomi, sosial dan kemanusiaan.

"Ini menuntut kerjasama yang lebih rapat antara semua agensi terlibat dan pewujudan pendekatan lebih bersepadu terhadap konflik dan penyelesaiannya," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Dedah Imej Sebenar PAS - PM

Artikel Lain