suria

Suami Isteri Mangsa Tanah Runtuh Dakwa Ditipu Peguam

KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri, yang kematian dua anak perempuan dalam kejadian tanah runtuh di Hulu Selangor pada 2008, mendakwa menjadi mangsa penipuan sebuah syarikat guaman hingga menyebabkan mereka bakal diisytihar muflis.

Azizah Madon, 46, mendakwa ini ekoran mereka tidak lagi menggunakan khidmat peguam itu setelah menyelesaikan kes di luar mahkamah setelah berbincang dengan Kerajaan Selangor dan pemaju.

Beliau mendakwa selepas tragedi itu, peguam berkenaan menghubungi mereka untuk menawarkan khidmat guaman setelah mengetahui kejadian tersebut turut meranapkan banglo mereka.

"Peguam tersebut menasihatkan kami untuk memfailkan saman terhadap pemaju, kerajaan Selangor dan tiga yang lain meskipun pemaju bersetuju untuk membayar pampasan kepada kami.

"Sebelum saman difailkan, kami telah bertanya kepada peguam berkenaan mengenai pembayaran guaman kerana kami berada dalam keadaan sehelai sepinggang dan tidak mampu, tetapi peguam itu kata tidak apa, dia tolong kami kerana Allah," katanya kepada pemberita di Parlimen pada Isnin.

Beliau berkata setelah saman berjumlah RM1.1 juta itu difailkan, peguam tersebut tiba-tiba menuntut kos guaman yang amat tinggi iaitu sebanyak 25 peratus daripada jumlah bayaran saman.

Azizah berkata beliau dan suami kemudian menyelesaikan kes itu di luar mahkamah dan perbincangan bersama pemaju serta kerajaan negeri dijalankan selama setahun tanpa sebarang bantuan dan penglibatan peguam tersebut.

"Kami mengambil keputusan untuk tidak lagi menggunakan khidmatnya. Peguam itu tidak berpuas hati kerana tidak mendapat jumlah yang dimahukan setelah kami mendapat bayaran pampasan sebanyak RM850,000 menyebabkan dia bertindak menyaman kami di Mahkamah Seksyen dengan membawa satu dokumen 'Warrant to Act' yang kami tidak pernah lihat dan tandatangani.

"Peguam itu kemudian datang ke rumah yang kami baru beli dan duduki kira-kira setahun dan membuat lelongan awam terhadap barangan rumah kami sebanyak dua kali pada April tahun ini," dakwanya.

Berikutan itu, beliau berkata laporan polis dibuat berkaitan 'Warrant of Act' tersebut pada tahun lepas.

Azizah berkata baru-baru ini, peguam itu bertindak memfailkan notis muflis terhadap beliau dan suaminya.

Sementara itu, Anggota Parlimen Hulu Selangor P.Kamalanathan menggesa Majlis Peguam untuk campur tangan dan menyiasat kes tersebut.

Beliau turut meminta polis menyiasat dakwaan bahawa dokumen 'Warrant to Act' itu dipalsukan.

"Kini, mereka terpaksa berdepan dengan saman muflis oleh peguam yang berjanji mencari keadilan untuk mereka.

"Saya benar-benar berharap semua pihak yang berkenaan dalam saman ini boleh berkompromi demi keadilan," katanya.

Pada 30 November 2008, dua beradik Noratirah Roslan, 16, dan adiknya Nurul Intan Sarina, 9, terbunuh setelah tertimbus dalam kejadian runtuhan tanah yang meranapkan banglo setingkat itu di Lot 110, Jalan Belida 1,Ulu Yam Perdana, pada 5.30 pagi. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Dedah Imej Sebenar PAS - PM

Artikel Lain