suria

Mustafa Yakin Sokongan Anak Kelantan Diterjemah Dalam Bentuk Undi BN

KUALA LUMPUR: Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed yakin anak Kelantan yang berada di luar negeri itu akan menunjukkan sokongan kepada Umno dengan mengundi Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata walaupun pelbagai tohmahan dan dakwaan dilemparkan pembangkang, aura Umno masih utuh dalam kalangan anak Kelantan.

"Menerusi strategi mengumpulkan anak-anak jati Kelantan di perantauan dalam program tertentu, kita dapati sokongan mereka yang berada di Lembah Klang begitu kuat," katanya kepada pemberita selepas majlis Memasak Bubur Asyura di Taman Tasik Titiwangsa di sini, Ahad.

Kira-kira 2,000 anak Kelantan menyertai majlis anjuran Persatuan Anak-anak Kelantan di Perantauan.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata beliau yakin pengundi 'atas pagar' yang mahukan keamanan, silaturahim dan perpaduan, bijak membuat penilaian dan menolak tuduhan tidak berasas.

"Kita harap pengundi 'atas pagar' ini menggunakan akal untuk menilai mana yang baik dan tidak. Sudah tentu mereka akan menolak kumpulan ekstremis yang mahu menghancurkan Umno dengan menuduh kita murtad dan tolak Islam kerana tuduhan itu sememangnya tidak berasas," katanya.

Beliau berkata selain perlu bersatu padu, semua anggota Umno harus akur dengan calon-calon yang bertanding atas tiket BN dan memberi sokongan kepada mereka pada pilihan raya umum. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Dedah Imej Sebenar PAS - PM

Artikel Lain