suria

MP Serian Tidak Gusar Dengan Dakwaan Pembangkang

KUCHING: Timbalan Menteri Luar Datuk Richard Riot tidak gusar dengan dakwaan DAP bahawa masyarakat Bidayuh, yang merupakan pengundi majoriti di kawasan Parlimen Seria, kini cenderung kepada pembangkang.

Anggota Parlimen Serian dan Timbalan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) itu berkata beliau yakin dengan semangat kekitaan dalam kalangan parti komponen Barisan Nasional (BN) negeri, terutama Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), dan BN masih boleh mengekalkan kerusi dengan penuh keyakinan.

"Saya tahu kekuatan dan kelemahan saya kerana saya telah bekerja kuat di peringkat akar umbi sejak lebih 20 tahun...tetapi dalam pada itu, saya tidak mahu terlalu yakin," katanya kepada Bernama di sini, Isnin.

Setiausaha Agung DAP dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mendakwa kehadiran ramai orang pada ceramah DAP di Serian Sabtu malam lepas, menunjukkan peningkatan penerimaan masyarakat Bidayuh di daerah itu terhadap pembangkang.

Bagaimanapun, Riot, yang kemungkinan besar akan dicalonkan untuk bertanding bagi penggal keenam pada pilihan raya umum akan datang, menyangkal dakwaan itu kerana kira-kira 70 peratus yang hadir ialah masyarakat Iban dari kawasan Parlimen berdekatan iaitu Sri Aman, yang perkara hak Tanah Adat Pribumi masih menjadi isu panas.

"Beliau (Guan Eng) boleh dakwa apa sahaja. Ini sebuah negara demokrasi," katanya dan menurutnya persoalan sama ada masyarakat Bidayuh masih menyokong kerajaan BN patut diputuskan menerusi undi.

Walaupun Serian dianggap sebagai "paling selamat" daripada tujuh kawasan Parlimen yang secara tradisinya diperuntukkan kepada SUPP, Riot sebagai satu-satunya anggota Parlimen Bidayuh dalam SUPP, percaya beliau mempunyai masih mendapat sokongan padu berdasarkan pembabitannya secara aktif di peringkat akar umbi sejak beliau memulakan kerjaya politik pada 1990.

"Tindakan lebih baik daripada kata-kata. Ini prinsip saya," katanya merujuk kepada dirinya yang sentiasa melawat kawasan yang diwakilinya, yang meliputi sehingga sempadan Kalimantan Barat-Indonesia, pada setiap hujung minggu semasa cuti rehat daripada kesibukan menjalankan tugas kementerian di Putrajaya.

Menghadiri dua atau tiga majlis sehari adalah perkara biasa pada hujung minggu, katanya.

Pada pilihan raya Parlimen pada 2008, Riot menumpaskan Sylvester Belayong Jayang dari Parti Kebangsaan Sarawak dengan majoriti 13,427 undi. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Dedah Imej Sebenar PAS - PM

Artikel Lain