suria

Dua Lelaki Geng Zawa Didakwa Miliki Peluru Hidup

KOTA BAHARU: Dua lelaki yang dipercayai anggota "Geng Zawa" pada Isnin didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan memiliki sembilan biji peluru hidup pada Oktober lalu.

Tertuduh, Mohd Fizree Mat Saufi, 25, dan Juhari Mat Jusoh, 22, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Muhamad Hafiz Mohd Noor.

Majistret menetapkan 8 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes tersebut.

Kedua-dua lelaki itu didakwa memiliki sembilan biji peluru hidup bertulis S&B 38 Special tanpa permit atau lesen yang sah di hadapan bengkel Motor Kaun Nen, berdekatan Maybank, Jalan Sultan Yahya Petra di sini pada pukul 9.25 malam, 15 Oktober.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mahkamah tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin.

Kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nabilah Nizam. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Dedah Imej Sebenar PAS - PM

Artikel Lain