suria

Contohi Malaysia Atasi Konflik Antara Negara - Tun M

KUALA LUMPUR: Malaysia boleh dijadikan contoh oleh negara luar terutama dalam mencari pelan damai untuk menyelesaikan konflik antara dua negara bagi mengelak berlakunya peperangan.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed berkata, konflik atau pertikaian yang timbul antara dua negara berjiran boleh diselesaikan dengan kaedah rundingan dan persefahaman yang akan menguntungkan kedua-dua pihak.

Buktinya, Dr Mahathir berkata Malaysia berjaya mengekalkan keamanan dan hubungan baik antara negara jiran seperti Thailand, Indonesia, Singapura dan Filipina walaupun timbul pelbagai pertikaian terutamanya berkaitan hak jajahan masing-masing.

"Kaedah terbaik untuk menyelesaikan konflik antara negara ialah menerusi rundingan. Bagi saya kita tak perlu terlibat dalam peperangan dengan negara jiran.

"Perkara yang boleh anda pelajari untuk menyelesaikan konflik...saya tawarkan (kaedah) penyelesaian (ala) Malaysia," katanya ketika menyampaikan ucapan pada majlis jamuan makan tengah hari forum antarabangsa sempena Perhimpunan Agung Umno 2012 di sini, Isnin.

Mengulas lanjut Dr Mahathir yang juga bekas Presiden Umno berkata, konflik yang timbul antara dua negara juga boleh diselesaikan dengan membabitkan pihak ketiga dengan syarat kedua-dua pihak terbuka dalam menerima keputusan yang bakal dicapai.

"Sebaiknya kita guna pendekatan yang lebih munasabah dan aman iaitu dengan cara rundingan (babitkan dua negara) atau mendapatkan pihak ketiga untuk jadi pengadil ataupun rujuk kepada mahkamah antarabangsa.

"Dengan cara ini kita boleh selesaikan masalah. Tapi sudah tentu ada yang menang dan ada yang kalah. Namun kalau ada perbincangan, mungkin kedua-dua pihak boleh mendapat untung," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Dedah Imej Sebenar PAS - PM

Artikel Lain