suria

BN Persoal Tindakan Sambil Lewa Kerajaan Selangor Tangani Banjir

DENGKIL: Koordinator Barisan Nasional (BN) Selangor Datuk Seri Mohd Zin Mohamed mempersoalkan tindakan segera kerajaan negeri Selangor untuk menangani masalah banjir di negeri itu.

Ahli Parlimen Sepang itu berkata kerajaan Selangor pernah berjanji membina kolam tebatan banjir di Klang suatu masa dulu namun sehingga kini ia masih belum dilaksanakan.

"Kerajaan negeri juga mengaku berlakunya tragedi ban pecah (yang menyebabkan banjir) namun menyalahkan penduduk yang melakukan aktiviti pertanian di kawasan terbabit. "Secara logik, jika pokok ditanam, maka ban tidak akan pecah sebaliknya akan bertambah kuat kerana struktur akar pokok yang mencengkam tanah," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada 588 keluarga mangsa banjir di Sepang dan Kuala Langat, di sini, Isnin.

Setiap keluarga menerima RM1,000 termasuk RM500 daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) manakala selebihnya sumbangan Tabung Bencana Alam Majlis Keselamatan Negara (MKN), bagi meringankan beban mereka yang terjejas akibat bencana tersebut baru-baru ini.

Mohd Zin merayu kerajaan Selangor mengambil tindakan segera menangani perkara perlombongan pasir haram di sekitar Sungai Langat dan masalah pengurusan sampah yang didakwa antara punca berlakunya banjir di Sepang dan Kuala Langat.

Beliau meminta rakyat menilai secara objektif sikap kerajaan negeri Selangor yang berterusan mengambil sikap sambil lewa dan menyalahkan penduduk atas kejadian banjir yang berlaku. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Dedah Imej Sebenar PAS - PM

Artikel Lain