suria

Sayap MIC Tangguh Mesyuarat Agung, Tumpu PRU

KUALA LUMPUR: Sayap Pemuda, Wanita, Puteri dan Putera MIC mengambil keputusan menangguhkan mesyuarat agung tahunan masing-masing untuk memberi tumpuan kepada Pilihan Raya Umum Ke-13.

Ketua PemudaMIC T. Mohan berkata keempat-empat sayap itu sepatutnya mengadakan mesyuarat agung mereka pada 2 Disember di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) seminggu sebelum mesyuarat agung tahunan kebangsaan parti itu pada 9 Disember.

"Kami rasa memang wajar menangguhkannya kerana kami mahu memberi fokus kepada usaha mengukuhkan parti dan meningkatkan kemajuan masyarakat India dalam pelbagai sektor bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13," katanya kepada Bernama hari ini.

Mohan berkata walaupun mesyuarat berkenaan ditangguh, 35 anggota perwakilan Pemuda parti itu masih mempunyai ruang untuk menyuarakan pandangan mereka kerana mereka akan menyertai mesyuarat agung tahunan kebangsaan MIC.

Sementara itu, setiausaha agung MIC Datuk S.Murugesan berkata mesyuarat agung tahunan ke-66 parti itu akan berlangsung selama sehari sahaja untuk menjimatkan masa dan kos kerana MIC memerlukan lebih RM1 juta jika ia diadakan selama dua hari.

Mesyuarat agung tahunan MIC yang akan diadakan di PWTC pada 9 Dis akan dihadiri 1,500 anggota perwakilan dan 2,000 pemerhati, katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain