Mayat Lelaki Dipercayai Mangsa Bunuh Ditemui Di Klang - Semasa | mStar

Mayat Lelaki Dipercayai Mangsa Bunuh Ditemui Di Klang

KLANG: Polis menemui mayat seorang lelaki, dipercayai mangsa bunuh, dengan kesan tikaman di punggung dan kecederaan di kepala berhampiran sebuah taman permainan di Jalan Hulubalang 26, Taman Sentosa di sini Sabtu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Mohamad Mat Yusof berkata mayat mangsa yang dikenali sebagai T.Sivanegan, 36, ditemui beberapa penduduk yang melalui lokasi kejadian pada kira-kira 10 pagi.

Beliau berkata siasatan awal mendapati lelaki itu mempunyai dua rekod jenayah lampau membabitkan kes curi kenderaan dan samun.

"Berdasarkan siasatan awal, polis percaya lelaki terbabit, yang tidak mempunyai pekerjaan tetap, terlibat dalam pergaduhan dengan beberapa individu ketika kejadian itu," katanya kepada pemberita.

Mohamad berkata pihaknya dimaklumkan seorang daripada rakan mangsa yang terlibat dalam kejadian itu kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) akibat cedera parah di kepala.

Beliau berkata polis sedang menyiasat punca sebenar mangsa dibunuh dan kejadian gaduh membabitkan mangsa, selain menjalankan gerakan untuk mengesan suspek lain dalam kes itu.

"Kita juga akan mengambil keterangan rakan mangsa yang sedang dirawat di HTAR bagi mengetahui kejadian sebenar untuk membantu siasatan," katanya sambil menambah siasatan kes itu dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mohamad berkata mayat mangsa dihantar ke HTAR untuk bedah siasat. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain