suria

Perisian Cetak Rompak Dirampas Dari Syarikat Perunding Kejuruteraan

GEORGE TOWN: Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pulau Pinang menyerbu sebuah syarikat perunding kejuteraan di Bayan Baru di sini dan merampas 12 salinan perisian komputer cetak rompak.

Ketua Penguatkuasa KPDNKK Negeri Abdul Rosik Yakub berkata pihaknya membuat serbuan terhadap syarikat berkenaan setelah menerima aduan daripada Business Software Alliance (BSA).

"Perisian cetak rompak yang dirampas itu termasuklah Adobe Photoshop, Microsoft Windows, Microsoft Office dan Microsoft Project Professional yang bernilai RM27,000," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Katanya KPDNKK juga turut merampas empat buah komputer.

Seorang pekerja yang bertugas ketika serbuan dibebaskan selepas KPDNKK mengambil keterangan.

Abdul Rosik berkata serbuan sempena Ops Semak yang dijalankan selama sebulan itu sebelum ini telah memberi peluang kepada industri dan syarikat swasta supaya membuat semakan terhadap perisian komputer bagi memastikan ia adalah tulen.

Beliau berkata syarikat berkenaan akan disiasat di bawah Akta Hak Cipta 1987 yang jika bersabit kesalahan boleh dikenakan denda minimum RM2,000 hingga RM20,000 bagi setiap salinan langgaran atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain