suria

MB Perlis Yakin Kebajikan Warga Emas Sentiasa Terbela

KANGAR: Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu pada Sabtu merasmikan sambutan Hari Warga Emas 2012 peringkat negeri Perlis dengan keyakinan kebajikan warga emas di negara ini akan terus terbela.

Beliau berkata kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) telah membina negara ini dengan baik dan seharusnya setiap rakyat berdoa ke arah kebaikan berpanjangan dan bukan berdoa untuk kemusnahan.

"Walaupun kerajaan telah melakukan pelbagai usaha murni untuk rakyat, saya juga berharap rakyat sentiasa doakan yang yang terbaik untuk kesejahteraan termasuk untuk golongan warga emas," katanya.

Rakyat Malaysia yang telah mencapai usia emas adalah antara golongan yang sentiasa dijaga kebajikan mereka oleh kerajaan termasuk melalui pembentukan Dasar Warga Emas Negara pada 2011.

Md Isa berkata pada masa ini terdapat sebanyak 2.2 juta atau 7.7 peratus daripada 28.3 juta penduduk Malaysia adalah warga emas atau yang berusia lebih 60 tahun dan menjelang 2030 peratusannya meningkat kepada 15 peratus berdasarkan peningkatan taraf kesihatan penduduk.

"Kerajaan berharap melalui dasar yang digubal untuk warga emas akan membolehkan mereka menikmati kehidupan yang produktif dan dapat menyumbang keupayaan mereka kepada masyarakat dan negara," katanya.

Menteri Besar sedih kerana gejala 'Si Tanggang moden' turut berlaku di dalam negara sehingga menyebabkan ibu bapa mereka terlantar dan diabaikan kebajikan mereka secara yang menyayat hati.

Menurutnya statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat menunjukkan antara Januari dan Julai lalu, sebanyak 2,020 warga emas ditempatkan di rumah kebajikan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan 982 daripada adalah berbangsa Melayu.

Beliau berkata pada tahun ini sebanyak RM496 juta telah diperuntukkan oleh kerajaan pusat bagi membantu 150,000 warga emas di seluruh negara di samping pelbagai insentif yang diperkenalkan terutama di sektor kesihatan.

Sempena sambutan yang berlangsung di Denai Larian Pengkalan Asam yang terletak di pinggir Sungai Perlis itu, pelbagai kegiatan diadakan termasuk senam seni warga emas dan pameran jabatan dan agensi selain pameran kereta lama dan skuter.

Sementara itu, bekas guru, Zain Othman, 80 yang merupakan seorang aktivis masyarakat diumumkan sebagai ikon warga emas lelaki manakala bekas guru yang kini seorang usahawan, Azizah Md Taib, 79, diumum sebagai ikon warga emas wanita pada sambutan itu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain