suria

Kompaun RM300 Bagi Kesalahan Kenderaan Lebih Muatan Terlalu Rendah - Pang

TAWAU: Pihak berkuasa dicadangkan supaya mengkaji semula kadar kompaun yang dikenakan terhadap kesalahan membawa muatan berlebihan oleh kenderaan berat yang menyumbang kepada kerosakan jalan raya.

Cadangan tersebut diutarakan oleh Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Pang Yuk Ming yang menyatakan kadar kompaun RM300 bagi kesalahan itu adalah terlalu rendah.

Justeru itu, beliau mencadangkan supaya pihak berkuasa mengambil kira kerosakan jalan raya serta masalah yang dihadapi oleh pengguna jalan raya semasa menentukan kadar kompaun terhadap kesalahan itu.

"Saya rasa kompaun sebanyak RM300 untuk kesalahan kenderaan lebih muatan adalah amat rendah berbanding kerosakan jalan raya yang disebabkan oleh perbuatan itu," katanya kepada pemberita selepas melawat projek menaiktaraf Jalan Sapulut-Kalabakan sepanjang 145 kilometer dengan kos RM267.72 juta di sini, Sabtu.

Kerja menaiktaraf jalan yang bakal memendekkan masa perjalanan darat dari Tawau ke Kota Kinabalu dijangka siap pada Oktober 2013. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain