suria

Wanita Kepada Enam Anak Antara Dua Yang Diberkas Edar Dadah

KUANTAN: Seorang wanita yang mempunyai enam orang anak antara dua yang diberkas Selasa lalu kerana dipercayai mengedar dadah.

Seorang buruh berumur 41 tahun turut diberkas di Perkampungan Sungai Isap dekat sini kira-kira 2.40 petang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang, Supt Yap Toon Khuan berkata buruh berkenaan ditahan di tepi jalan perkampungn itu dan polis menemui sejumlah ganja dalam tangannya.

Susulan penangkapan buruh itu, polis kemudiannya menyerbu pula sebuah rumah di Taman Pandan Permai yang dipercayai digunakan sebagai tempat menyimpan bekalan dadah dan menahan seorang wanita berumur 39 tahun yang juga merupakan kenalan kepada buruh terbabit.

"Hasil pemeriksaan di rumah itu, polis menemui sampul surat yang mengandungi ganja di bawah tilam di dalam sebuah bilik di tingkat atas. Satu lagi sampul surat yang mengandungi heroin turut ditemui di atas siling di tingkat bawah," kata Yap kepada pemberita, Khamis.

Beliau berkata heroin yang dirampas ialah seberat 505.1 gram bernilai RM101,000 manakala ganja seberat 111.07 gram bernilai RM2,250.

Siasatan awal mendapati wanita berkenaan mempunyai lima rekod jenayah lampau bagaimanapun dia negatif dadah sementara buruh terbabit didapati positif dadah.

Yap berkata wanita tersebut merupakan isteri kepada rakan suspek dan ketika ditahan suaminya tiada di rumah.

Polis percayai bekalan dadah tersebut diperoleh dari negeri jiran oleh suspek yang aktif sejak sebulan lepas untuk diedarkan di sekitar bandar Kuantan.

Kedua-dua suspek kini ditahan reman sehingga 27 November di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan sementara kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati. - BERNAMA

Artikel Lain