suria

PRU13, PRU Luar Biasa - Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR: Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan Pilihan Raya Umum ke13 (PRU13) sebagai PRU luar biasa.

Justeru, beliau menyeru ahli Umno menggunakan pendekatan luar biasa dalam merebut hati 40 peratus pengundi atas pagar menyokong Barisan Nasional (BN) dalam PRU13.

"Sebab itu saya kata Perhimpunan Agung Umno kali ini cukup penting kerana ia akan menjurus kepada persiapan jentera parti menjelang PRU13.

"Penentuan menang kalah adalah pengundi atas pagar jadi kita perlu guna pendekatan luar biasa untuk dapatkan mereka dan rampas semula kerusi yang kita kalah.

"Jika ada masalah dalaman dan luaran ia harus diselesaikan kerana Umno merupakan tulang belakang jentera BN," katanya kepada pemberita selepas menerima lawatan hormat daripada Penasihat Khas Pertahanan kepada Perdana Menteri Britain, Sir Nigel Kim Darroch di Bangunan Parlimen pada Khamis.

Ditanya apakah yang beliau maksudkan dengan PRU luar biasa, Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan berkata ahli parti tidak harus menggunakan tindakan yang biasa serta selesa dengan keadaan sedia ada sebaliknya mereka perlu berusaha bersungguh-sungguh mendekati rakyat.

"Pada perwakilan yang akan berucap mereka tidak perlu sentuh isu-isu sensitif dalam dan luar parti kerana ini bukan masanya untuk lontarkan pandangan yang berbeza," katanya.

Artikel Lain