suria

Mangsa Kemalangan Lihat Rakan Terpelanting Bawah Treler

IPOH: "Saya dengar bunyi brek dari arah belakang dan dalam sekelip mata saya berada di tepi longkang dan melihat rakan-rakan lain tersepit di bawah treler".

Menceritakan detik kemalangan maut yang mengorbankan empat pekerja Projek Penyelenggaraan Lebuhraya Berhad (Propel) di kilometer 294.1 Lebuhraya Utara-Selatan awal hari ini, Dino Azmi, 36, berkata ketika itu beliau bersama pekerja lain sedang menjalankan kerja penyelenggaraan di lebuh raya itu.

Kemalangan berhampiran Gopeng pada pukul 4.30 pagi itu menyebabkan empat lagi pekerja Propel serta pemandu dan kelindan treler terlibat cedera.

Dino berkata rempuhan kuat treler membawa muatan coklat itu menyebabkan sebahagian mangsa terpelanting dan terperosok di bawah treler.

"Saya sempat melihat treler itu merempuh empat kenderaan yang diletakkan di lorong kecemasan.

"Sedar-sedar saya sudah berada di tepi longkang. Saya kemudian merangkak ke arah rakan-rakan lain yang tersepit di bawah lori," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.

Mereka yang maut ialah Ismady Mohd Rodzi, 32, Shaharuddin Abd Aziz, 51, dari Kuala Kangsar, Mohd Shafie Ismail, 56, dari Taman Shatin Baru, Ipoh dan Hafiz Yunus, 39, dari Kuala Lumpur.

Selain Dino, tiga lagi pekerja Propel yang cedera ialah Azhan Ismail, 44, Mahyuddin Idris, 48, dan Shafudin Abdul Jalil, 31, manakala pemandu treler yang turut cedera hanya dikenali sebagai Zulkifli dan kelindannya Mohd Rozi Mat Sharif, 44.

Dino berkata hanya beliau yang mampu merangkak untuk mendapatkan bantuan manakala rakannya yang lain mengerang kesakitan.

"Hanya saya yang mampu bersuara dan bergerak ketika itu dan saya hanya sempat menarik Ismady.

"Saya terpaksa menelefon sendiri pihak hospital untuk mendapatkan bantuan kerana tidak ada satu kereta pun yang berhenti sejurus kejadian berlaku," katanya.

Dino berkata sebelum kejadian, dia bersama Ismady dan Mahyuddin sempat menikmati makan malam sebelum menerima panggilan kecemasan yang meminta mereka bekerja.

"Kami bergerak dengan keadaan tergesa-gesa...Saya tak sangka itulah detik-detik terakhir saya bersama Ismady. Masa itu dia (Ismady) tak pula tunjukkan perangai pelik," katanya.

Sementara itu adik kepada Ismady, Mohd Fairuz Mohd Rodzi, 26, berkata abangnya yang merupakan anak kedua dari tiga beradik itu keluar dari rumah mereka di Bercham kira-kira pukul 8 malam tadi selepas menikmati makan malam.

"Saya tak sangka itu saat-saat akhir kami bersama sebelum dia meninggalkan kami untuk selama-lamanya," katanya dengan nada yang tenang.

Mohd Fairuz berkata beliau pernah diberitahu bahawa abangnya itu ingin berhenti kerja di syarikat berkenaan kerana sering bertugas pada lewat malam.

Mohd Shahrul, 29, anak kepada Mohd Shafie yang ditemui di Hospital Kampar pula berkata beliau sempat meluangkan masa bersama ayahnya ketika pulang bercuti di rumah keluarganya di sini minggu lepas. BERNAMA

Artikel Lain