suria

Hadi Sebagai PM: Langkah Politik Paling Bijak Yang Pernah Dilakukan Oleh PAS

SEJAK tamatnya Muktamar Tahunan PAS hujung minggu lalu, penulis teragak-agak sama ada ingin turut serta dalam perdebatan mengenai kemungkinan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengetuai negara ini selaku perdana menteri.

Walaupun ramai pemimpin PAS sendiri sama ada dalam kolum atau tulisan mereka cuba memperkecil-kecilkan tentang isu ini dengan berkata ia bukanlah satu-satunya topik utama yang dibincangkan dalam muktamar tetapi khabarnya orang masih belum berhenti memperkatakannya.

Malah, ramai yang masih tertanya-tanya, apakah kebarangkalian untuk Hadi dilantik menjadi perdana menteri negara ini sangat besar?

PERSOALAN PALING BESAR

Tetapi persoalan paling besar yang tidak disentuh atau ditanya oleh sesiapa pun ialah, mengapakah isu mengenai presiden PAS harus jadi perdana menteri, tiba-tiba sahaja diperkatakan dan diperbahaskan pada muktamar agungnya kali ini.

Jawapannya walaupun tidak disentuh tetapi agak jelas. Pertama kerana ia adalah muktamar yang terakhir sebelum pilihan raya umum akan datang. Jadi inilah pentas terbaik untuk menyatakan hasrat akar umbi dan untuk membangkitkan mood serta semangat pilihan raya di kalangan perwakilan.

Tetapi sebab yang lebih penting, lebih nyata dan lebih ketara ialah kerana, inilah buat pertama kalinya para perwakilan PAS benar-benar merasakan yang mereka cukup berpeluang dan bersedia untuk mengecapi tampuk pemerintahan pusat.

Tidak ada parti politik yang berjuang untuk menjadi pembangkang sepanjang hayat. Bezanya dulu, ketika pakatan pembangkang tidak bersatu seperti sekarang (iaitu masing-masing bekerja dan berjuang untuk tujuan sendiri) mereka menyertai medan pilihan raya bukan untuk menjadi pemerintah tetapi untuk menjadi pembangkang yang kuat.

Tetapi sejak tsunami 2008, persepsi tersebut telah berubah. Malah DAP yang tidak pernah merasai nikmat kuasa tiba-tiba mendapati mereka harus mengubah budaya kerja, budaya fikir dan budaya adab.

Mereka bukan lagi pembangkang tetapi mengetuai sebuah negeri di Pulau Pinang dan berkongsi kuasa di Selangor.

Walaupun mereka akhirnya mendapati, mengubah cara berfikir bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan tetapi ternyata realiti menuntut mereka mengubah cara kerana kini mereka adalah pihak yang memerintah bukannya lagi membangkang sepertimana masa-masa yang lalu.

REALITI & POLARISASI

Dalam konteks yang serupa, PAS yang telah sekian lama merasai nikmat kuasa di peringkat negeri (dulu Kelantan dan Terengganu) kini di Kelantan dan Kedah, merasakan masanya telah tiba untuk mereka memerintah di peringkat pusat pula.

Mereka berasa demikian kerana merasakan sokongan dari kalangan masyarakat Melayu ke atas mereka sangat padu dan kukuh.

Pada masa yang sama, mereka juga sedia maklum, sistem politik dan pilihan raya di Malaysia masih kuat di pengaruhi dan ditentukan oleh faktor kaum.

Sejak sekian lamanya, atau mungkin saja sejak pilihan raya pertama di negara ini diadakan, parti-parti politik di Malaysia telah meletakkan calon berasaskan polarisasi kaum.

Ini bermakna, PAS secara majoritinya akan bertanding di kawasan majoriti Melayu, DAP di kawasan majoriti Cina dan PKR yang membawa konsep kepelbagaian kaum akan bertanding di kawasan pengundi bercampur.

Inilah realitinya dan selagi politik Malaysia ditentukan oleh polarisasi kaum maka selagi itulah kita akan saksikan konsep ini berterusan.

Tapi apa boleh buat, Malaysia adalah satu-satunya negara di muka bumi ini yang sistem politiknya ditentukan oleh politik perkauman.

Mana ada sistem politik di dunia ini yang parti politiknya adalah berasaskan kaum? Hanya di Malaysia sahaja yang masih wujud malah diamalkan sehingga ke hari ini.

POLITIKAL BETUL

Menyedari hakikat ini - sama ada secara sedar atau di bawah sedar - maka para perwakilan PAS sebenarnya telah melakukan perkara yang politikal betul iaitu dengan membentang dan menyuarakan tentang hasrat ini pada peringkat yang paling tinggi iaitu muktamar tahunan mereka.

Mereka tahu, apa yang disuarakan oleh mereka tidak akan disenangi oleh rakan-rakan yang lain dalam pakatan tetapi itu tidak menjadi hal untuk mereka terus menyuarakannya.

Kerana suara yang mereka lontarkan itu perlu disokong atau disahkan dalam sebuah perhimpunan agung. Soal sama ada idea itu boleh menjadi realiti atau tidak, itu soal lain.

Ini kerana seandainya ditakdirkan PAS menang besar di kawasan majoriti Melayu (walaupun hakikatnya sukar dan bukan mudah) dan mereka menjadi parti tunggal terbesar dalam Dewan Rakyat, maka tidak syak lagi, calon perdana menteri adalah secara zahirnya patut datang dari kalangan mereka.

Pada waktu itu, walaupun dengan kelebihan satu kerusi, para perwakilan PAS akan merujuk kembali kepada apa yang telah disuarakan, dibahaskan dan disahkan dalam muktamar agung mereka bahawa jawatan perdana menteri mestilah disandang oleh presiden mereka.

KAMIKAZE POLITIK?

Walaupun ramai penganalisis khususnya dari kalangan kaum Cina mengatakan PAS telah melakukan kamikaze politik dengan membawa isu siapa patut jadi perdana menteri dalam perbahasan muktamar tahunannya kerana para pengundi Cina akan merasakan apakah mereka akan melakukan sesuatu yang betul dengan mengundi pakatan nanti atau apa akan jadi jika PAS benar-benar menjadi parti yang dominan dengan kerusi paling banyak selepas pilihan raya nanti, tetapi bagi para pendokong PAS, itu bukanlah menjadi sandaran mereka.

Dulu memang mungkin. Dulu mereka tidak lagi bersedia, atau masih belum terasa layak atau masih belum terasa kuat. Tetapi kini mereka bukan sahaja terasa kuat malah mereka terasa yang mereka akan menang besar di kawasan majoriti Melayu yang mereka akan tandingi.

PAS kini merasakan mereka boleh berdiri sendiri. Dan mereka merasakan, jika mereka menang majoriti kerusi, mahu tidak mahu DAP dan PKR akan turut serta dalam membentuk kerajaan persekutuan tapi tak bolehlah tuntut itu dan ini.

Sesungguhnya, langkah mengenegahkan isu perdana menteri ini adalah langkah politik yang sangat bijak dan tertib yang pernah dilakukan oleh para pendokong PAS. Pada masa-masa yang lalu, tidak kedengaran pun suara yang menuntut agar presiden PAS disyorkan menjadi perdana menteri Malaysia.

DAP kalau menang semua kerusi parlimen yang mereka tandingi, paling maksimum sekali pun, mereka hanya akan kuasai 44 kerusi majoriti kaum Cina manakala PKR pula walaupun akan masuk gelanggang dengan kerusi paling banyak iaitu sekitar 92 buah kerusi, belum tentu boleh menang semua.

Tetapi PAS merasakan mereka mempunyai pengaruh yang sangat besar di kawasan majoriti Melayu dan boleh menang besar di kawasan-kawasan tersebut.

Inilah mengapa, tiba-tiba suara menuntut Hadi menjadi perdana menteri berkumandang dengan jelas dan nyaring di muktamar kali ini.

Artikel Lain