suria

Dua Juruteknik Dan Dua Remaja Didakwa Rompak Sebuah Spa Bersenjatakan Parang

PETALING JAYA: Dua juruteknik dan dua remaja mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, atas pertuduhan merompak berkumpulan bersenjatakan parang di sebuah spa di Sunway Mentari, di sini 11 November lalu.

R.Ananda Raj dan S.Magesvaran, masing-masing berumur 24 tahun, bersama dua remaja berumur 17 tahun, didakwa melakukan kesalahan tersebut terhadap dua mangsa, iaitu juruwang di spa berkenaan, Liau Nyuk Mee, 28; dan seorang pelanggan Chan Ah Kong, 46.

Keempat-empat tertuduh tersebut didakwa mengambil wang tunai RM500, kad pengenalan, kad kredit, dan sebuah telefon bimbit, milik Liau; dan wang tunai RM2,210, milik spa tersebut.

Mereka turut didakwa mengambil kad pengenalan, lesen memandu, kad kredit, tiga kad mesin teler automatik (ATM), kad keahlian sebuah kelab golf, wang tunai RM400 dan sebuah telefon bimbit, milik Chan.

Kesemua lelaki tersebut didakwa melakukan kesalahan itu di spa tersebut pada 9.50 malam, 11 Nov lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 397 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Dhiya Syazwani Izyan Mohd Akhir menawarkan wang jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin kepada setiap tertuduh.

Peguam Datuk Suraj Singh yang mewakili kesemua tertuduh, memohon mahkamah agar wang jaminan yang dikenakan adalah dalam jumlah yang munasabah, oleh kerana ahli keluarga mereka tidak mempunyai jumlah wang tersebut dan hanya membawa RM2,000.

Hakim Suraiya Mustafa Kamal membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan syarat tambahan penjamin kedua-dua remaja bawah umur tersebut adalah bapa mereka.

Mahkamah menetapkan 18 Dis depan untuk sebutan semula kes. BERNAMA

Artikel Lain