suria

92 Pensyarah UPNM Tamat Perkhidmatan Setelah Dipinjamkan - Khaled Nordin

PETALING JAYA: Sembilan puluh dua pensyarah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang didakwa dipecat daripada jawatan mereka baru-baru ini sebenarnya telah tamat kontrak daripada universiti berkenaan.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penamatan kontrak 92 pensyarah itu juga mempunyai kaitan dengan status mereka yang dipinjam daripada Kementerian Pertahanan (Mindef).

"Mereka dipinjam (ke UPNM) dan pinjaman mereka sudah tamat," katanya ketika dihubungi mStar Online, Khamis.

Beliau diminta mengulas mengenai gesaan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub agar Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menubuhkan satu panel siasatan bagi menyiasat isu penamatan kontrak 92 pensyarah UPNM baru-baru ini.

Pada Rabu, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah menegaskan yang pihak kementerian akan melihat perkata tersebut.

Beliau juga mengakui seramai 92 orang pensyarah yang juga merupakan bekas pegawai tentera disahkan telah tamat kontrak ekoran tidak mempunyai kelayakan akademik iaitu ijazah pertama.

Tetapi Salahuddin menyatakan keraguannya apabila sebelum ini mereka diterima untuk berkhidmat di UPNM walaupun hanya berbekalkan diploma lanjutan dan bersandarkan pengalaman yang lama semasa berkhidmat dalam angkatan tentera tanpa sebarang masalah.

Artikel Lain