suria

Tindakan Boikot Produk Adalah Hak Individu - Ismail Sabri

KUANTAN: Tindakan rakyat negara ini memboikot sesuatu barangan atau produk untuk membantah keganasan rejim zionis terhadap rakyat Palestin adalah hak dan pilihan individu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, kerajaan sama sekali tidak terlibat dalam tindakan itu tetapi pada masa sama tidak menghalang orang ramai daripada bertindak demikian.

"Kalau boikot tak nak pergi beli produk itu adalah hak pengguna, kita tidak ada kuasa paksa pengguna mesti beli produk itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kafe 1Malaysia Politeknik Sultan Ahmad Shah (Polisas) di sini, Rabu.

Ismail Sabri berkata, beliau menyedari memang wujud kempen memboikot sesetengah produk seperti McDonalds yang dikatakan mempunyai kaitan dengan rejim zionis di laman Facebook baru-baru ini.

"Kalau diikutkan, terdapat kesan terhadap sesuatu tindakan itu sama ada baik atau buruk.

"Contohnya, jika rakyat memboikot sesuatu produk makanan sehingga kedai itu tutup, berapa ramai pulak pekerja yang terdiri daripada rakyat Malaysia yang akan terjejas (sekiranya pembuangan pekerja berlaku)...ini yang harus dipertimbangkan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain