suria

Kereta Bawa Pil Eramin 5 Terbabas Sebelum Terbakar

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki dan seorang remaja perempuan selepas kereta dinaiki mereka terbabas sebelum terbakar ketika dikejar sebuah kereta peronda polis di Lebuhraya Damansara-Puchong dekat sini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed berkata dalam kejadian pukul 10.30 malam semalam itu, polis turut merampas 50 biji pil Eramin 5.

Sebelum itu, anggota peronda polis terlihat kereta berkenaan berada dalam keadaan mencurigakan di hadapan pusat membeli-belah IOI Mall, Puchong dan bertindak menghampiri kenderaan tersebut.

Bagaimanapun kereta itu memecut meninggalkan kawasan tersebut, memaksa polis mengejar dan mereka memasuki lebuh raya. Kereta yang dinaiki suspek kemudian melanggar pembahagi jalan di Km 16.5 lebuh raya berkenaan, katanya ketika dihubungi.

Menurut Arjunaidi, suspek lelaki berusia 27 tahun tersebut mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah, manakala remaja perempuan berumur 19 tahun itu pula tidak memiliki rekod jenayah lampau.

Katanya kedua-dua suspek yang tidak cedera dalam kejadian itu turut didapati positif dadah methamphetamine. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain