suria

Kase Terima Lebih 260 Saman AES Untuk Dibawa Ke Mahkamah

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase) pada Rabu menerima lebih 260 saman kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) untuk dibawa ke mahkamah.

Pengerusinya Datuk Mahfuz Omar berkata saman-saman tersebut diterima daripada Orang Kena Saman (OKS) yang meminta bantuan perundangan dan khidmat guaman yang disediakan Kase dengan kerjasama Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Juham).

"Hari ini sahaja kita terima lebih kurang 60 saman yang diserahkan kepada kita dan kira-kira 200 saman lagi kita terima melalui emel.

"Ini bermakna kita akan menentukan peguam-peguam yang akan mengendalikan kes-kes saman mereka di mahkamah di sekitar Perak dan Selangor," katanya kepada pemberita ketika hadir di kaunter saman AES yang dibuka di ibu pejabat PAS, dekat sini, Rabu.

Beliau berkata, setakat ini mahkamah yang terlibat untuk perbicaraan kes saman AES ialah mahkamah majistret di Taiping, Tapah, Slim River, Putrajaya, Kajang, Sepang dan Jalan Duta.

Menurut Mahfuz, sebutan pertama untuk kes saman AES ditetapkan pada 6 Disember ini di Mahkamah Jalan Duta pada pukul 8 pagi.

Beliau yang mendapatkan pandangan penasihat undang-undang turut menyatakan keyakinan bahawa kes-kes yang dibawakan ke mahkamah akan dapat melepaskan OKS yang minta dibicarakan.

"Saya tak boleh beritahu 'angle' apa kerana itu rahsia yang akan digunakan pasukan peguam kami untuk berhadapan pihak pendakwa," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, tindakan bantahan tersebut dilihat wajar kerana pelaksanaan AES di negara ini yang didakwa tidak telus.

Beliau juga percaya belum ada kes kesalahan trafik dibawa ke mahkamah, dan jika ada sekali pun ia merupakan kes terpencil.

"Ini kali pertama dan gerakan besar-besaran bantahan terhadap AES yang tidak telus dalam pelaksanaannya dan saya kira amat wajar.

"Kalau rujuk luar negara, luar negara pun mereka tak rujuk," katanya.

Naib Presiden PAS ini memberi contoh pelaksanaan AES di Amerika Syarikat yang tidak beroperasi 24 jam dan jumlah kompaun yang tidak ditetapkan.

Mengulas lanjut beliau berkata, bantuan guaman yang disediakan bukan bertujuan untuk mengurangkan kadar saman RM300 seperti yang ditetapkan.

"Proses di mahkamah akan dijalankan seperti biasa cuma kita sediakan khidmat guaman kepada OKS.

"Jika mahkamah putuskan mereka bersalah kita akan bantu dari segi rayuan dan sebagainya," katanya.

Salah seorang OKS, Megat Khairul Anwar, 28, berkata perasaan was-was terhadap surat saman yang diterimanya membuatkan dia hadirke kaunter dan mendengar penerangan yang diberikan.

Dia yang menerima surat saman kerana memandu melebihi had laju tidak pasti adakah dia memandu melebihi had laju seperti yang didakwa.

"Saya tak pasti sama ada benar saya memandu 117 kilometer sejam seperti yang dinyatakan dalam surat saman.

"Saya datang ke sini untuk dengar penerangan dan dapatkan kepastian. Sekarang saya faham dan buat keputusan minta dibicarakan di mahkamah," katanya yang mengetahui tentang kaunter ini di Facebook.

Zulkifli, 44, dari Seremban berkata, dia memerlukan bantuan dari segi perundingan dan khidmat nasihat berhubung saman AES yang diterimanya.

Dia yang juga menerima saman kerana memandu melebihi had laju yakin bahawa dia tidak melakukan kesalahan tersebut.

"Saya pasti pada waktu itu saya memandu kurang daripada 112km sejam seperti yang terdapat dalam surat saman.

"Saya akan cabar saman ini di mahkamah kerana bukan senang-senang saya nak keluarkan RM300 untuk kesalahan yang saya tidak lakukan," katanya.

Dia berkata, jika diputuskan bersalah di mahkamah, dia bersedia membayar kompaun daripada membayar saman RM300.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain