suria

Kanak-Kanak Ditemui Lemas Di Air Terjun Pelangi

KUANTAN: Seorang kanak-kanak yang dilaporkan hilang ketika berkelah bersama keluarganya di kawasan Air Terjun Pelangi dekat Sungai Lembing semalam ditemui lemas pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohd Jasmani Yusoff berkata mayat Chan Pek Sheng, 9, ditemui kira-kira 1.30 petang di dalam air berhampiran tempat keluarganya mandi.

Dia dipercayai tergelincir ke dalam air.

"Mangsa bersama keluarganya dipercayai telah masuk ke kawasan air terjun berkenaan kira-kira 6.40 pagi bagi tujuan untuk berkelah," katanya.

Dua keluarga yang terdiri daripada lima orang dewasa dan empat kanak-kanak memasuki kawasan berkenaan dengan pacuan empat roda. Mohd Jasmani berkata mangsa hanya disedari hilang kira-kira 1.15 petang ketika anggota keluarganya bersiap sedia untuk keluar dari kawasan berkenaan.

Laporan kehilangannya dibuat di Balai Polis Sungai Lembing sebelum gerakan mencari dan menyelamat segera dilancarkan dan dihentikan sementara pada 8 malam disebabkan keadaan cuaca yang gelap.

Gerakan mencari disambung semula pada 8 pagi tadi yang turut dibantu masyarakat Orang Asli serta Unit Anjing Pengesan (K-9) Polis sehingga mangsa dijumpai. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain