suria

Skuad Pantau Pematuhan Waktu Kerja Wajar Dilaksana Segera - Kamaruddin

KOTA KINABALU: Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Kamaruddin Siaraf mahu skuad pemantau pematuhan wakta bekerja yang dicadangkan di semua jabatan dan agensi di bawah kementerian itu dilaksanakan segera.

Beliau berkata pendekatan seumpama itu adalah tepat pada masanya dan wajar disokong oleh semua warga kementeriaan demi kebaikan bersama.

"Walaupun ada tugas tertentu yang boleh dibuat di luar tanpa datang ke pejabat, namun peraturan perkhidmatan awam sedia ada mengkehendaki kita berada di pejabat semasa waktu bekerja, maka kita perlu mematahuinya. "Saya memberi perhatian perkara ini dan saya minta pihak yang berkenaan melaksanakannya dengan segera," katanya ketika berucap pada majlis perasmian persidangan Pengurus Sumber Manusia kementerian itu di sini, Selasa.

Kamaruddin turut meminta semua Ketua Jabatan dan Pengurus Sumber Manusia kementerian berkenaan supaya 'turun padang' mendengar keluhan petugas mereka dan seterusnya mencari jalan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi. Beliau menyeru mereka agar mengimbangi keperluan mengisi tuntutan kepimpinan transformasional dan transaksional bagi memacu kehendak transformasi bagi organisasi masing-masing dan perkhidmatan awam.

Selain itu, katanya Pengurus Sumber Manusia perlu lebih kreatif mewujudkan sebarang kaedah interaksi yang lebih terbuka, fleksibel atau santai dalam menguruskan sebarang permasalahan warga kerja dengan mengekalkan persekitaran kerja yang harmoni.

"Kejujuran dan keikhlasan mahupun kesetiaan warga kerja kita harus dihargai dan diiktiraf. Bagi kalangan warga kerja kita yang sedikit 'tersasar dari jalan yang lurus', bantulah mereka dan jangan biarkan mereka terus hanyut dalam persekitaraan berkenaan," katanya.

Mengenai isu perjawatan dan kenaikan pangkat di kementerian itu, Kamaruddin berkata cadangan yang diputuskan dalam persidangan selama dua hari itu dapat membantu menambah baik skim perkhidmatan sedia ada.

Beliau juga berharap penambahbaikan Skim Perkhidmatan Bakat dan Seni serta Fotografi terutama dari segi kenaikan pangkat dapat diselesaikan sebelum penghujung tahun ini. -BERNAMA

Artikel Lain