suria

Sistem 'Beeline' Kastam Dijangka Siap Januari Depan

KOTA KINABALU: Sistem 'beeline' di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bakal siap sepenuhnya selewat-lewatnya awal Januari depan bagi mencegah kegiatan penyeludupan dadah di negara ini.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) Datuk Matrang Suhaili berkata 'beeline' akan dilengkapi tujuh sistem pengimbas bagi meningkatkan pemantauan terhadap kegiatan penyeludupan dadah di lapangan terbang itu.

"KLIA kini mempunyai tiga sistem pengimbas dan empat lagi masih diperlukan bagi melengkapi sistem itu yang akan melakukan pemeriksaan ke atas setiap kemasukan penumpang di KLIA lebih teratur dan berkesan selain mengekang penyeludupan dadah dari pintu lapangan terbang," katanya ketika sidang akhbar di Pejabat Kastam Negeri di sini Selasa.

Sementara itu, Matrang berkata pihaknya berjaya menyelesaikan 97 kes dengan penangkapan seramai 117 suspek bagi membantu siasatan bagi kegiatan penyeludupan dadah di negara ini yang membabitkan rampasan RM146.5 juta sehingga 7 Nov lepas.

"Sebanyak 92 kes dikesan membabitkan tangkapan 76 suspek yang dianggarkan nilai rampasan RM183.7 juta," katanya.

Berkenaan kes tangkapan di Sabah, Beliau berkata kastam Sabah berjaya merampas kira-kira RM4.5 juta yang melibatkan cukai yang tidak dibayar sebanyak RM6.5 juta.

"Sehingga bulan lalu 1,629 kes direkodkan iaitu meningkat 21.2 peratus berbanding tahun lalu dengan 1,344 kes.

"Dari segi kutipan hasil iaitu kompaun dan tuntutan balik cukai pula, kastam Sabah berjaya memperoleh RM2.4 juta meningkat 17.18 peratus berbanding tahun lalu dengan RM2 juta," katanya. BERNAMA

Artikel Lain