suria

Kastam Gagalkan Cubaan Seludup Dadah Bernilai RM1 Juta

KOTA KINABALU: Kastam Diraja Malaysia Sabah berjaya menggagalkan cubaan menyeludup dadah dipercayai jenis syabu seberat empat kilogram bernilai RM1 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu di sini Ahad lepas.

Suspek lelaki warga tempatan berusia 31 tahun itu baru tiba dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam keadaan mencurigakan ditahan pada 9.30 pagi.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Matrang Suhaili berkata pemeriksaan lanjut dilakukan mendapati beg suspek mengandungi lapan bungkusan dadah yang dibaluti kertas aluminium disorok dalam lipatan pakaian perempuan. "Siasatan awal mendapati beg itu diberikan oleh seorang warganegara Afrika di KLIA sebelum dibawa masuk ke sini dan suspek dipercayai sudah tiga kali memasuki negeri ini tahun ini," katanya pada sidang akhbar di pejabat Kastam Negeri di sini, Selasa.

Matrang berkata pihaknya masih menyiasat kemungkinan suspek menyedari beg yang dibawanya itu mengandungi dadah. Beliau berkata suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Menurutnya dadah itu dipercayai untuk pasaran di negeri ini.

"Kes ini adalah yang pertama untuk tahun ini di Sabah yang melibatkan pengedaran dadah melalui pintu masuk lapangan terbang," katanya.

Katanya pada tahun lalu terdapat dua kes dengan nilai rampasan RM1,329,313.40 dan seorang daripadanya dijatuhkan hukuman gantung sampai mati dan seorang lagi masih dalam perbicaraan. -BERNAMA

Artikel Lain