suria

Jakim Akan Buka Pusat Perlindungan Rawat Pesakit HIV/Aids Guna Kaedah Islam

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)akan membuka pusat perlindungan untuk pesakit HIV/Aids di sini pada 2014, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata pusat perlindungan itu yang diberi nama 'Ilaj home' adalah untuk memberi rawatan khusus bagi pesakit yang dijangkiti HIV/Aids menggunakan kaedah dan pendekatan rawatan berasaskan Islam.

"Apa yang membezakan pusat Ilaj home dengan pusat rawatan HIV/Aids lain ialah ia menggunakan kaedah dan pendekatan rawatan Islam yang mengintegrasikan rawatan jasmani, rohani dan emosi pesakit dan boleh menempatkan 200 pesakit pada satu masa," katanya ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Islam dan HIV/Aids 2012 di sini, Isnin.

Persidangan anjuran Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia, Majlis Aids Malaysia, Yayasan Ihtimam dan Yayasan Aids Malaysia itu bermula hari ini hingga Rabu.

Persidangan kali ketiga itu menghimpunakan hampir 300 peserta dari 15 negara yang disertai kalangan ulama, saintis dan penyelidik dan membincangkan isu berkaitan permasalahan HIV/Aids di kalangan umat Islam.

Jamil Khir berkata kerajaan memperuntukkan jutaan ringgit untuk agensi kerajaan dan badan bukan keraajan (NGO) dalam menangani penularan HIV/Aids termasuk menggunakan pendekatan Islam.

"Antara pendekatan Islam yang dilaksanakan ialah menggunakan sukatan mata pelajaran di bawah Kementerian Pelajaran seperti kelas Pendidikan Jawi, Quran, Arab dan Fardhu Ain (J-Qaf) dan Kelas Fardhu Ain (Kafa).

"Kerajaan juga memperkasakan institusi masjid di seluruh negara. Masjid bukan saja dijadikan tempat beribadah tetapi ia juga berperanan sebagai pusat pembangunan sosial dan komuniti umat Islam di negara ini," katanya.

Persidangan tiga hari itu membariskan ahli panel tempatan terdiri Penasihat Agama Islam Johor Datuk Noh Gadut, Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan Datuk Dr Raj Karim, Presiden Majlis Aids Malaysia Profesor Dr Adeeba Kamarulzaman dan beberapa tokoh lain dalam bidang berkaitan.

Jamil Khir berkata kerajaan melalui Jakim turut melaksanakan program pencegahan seperti kempen menjauhi zina, anti Valentines day dan program untuk golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual (LGBT).

Pada majlis itu Jamil Khir turut melancarkan buku bertajuk 'Manual on HIV/Aids in Islam' versi bahasa Inggeris. -BERNAMA

Artikel Lain