suria

Hubungan Tidak Langsung Dengan Hamas Kerana Ketetapan PBB - Mohamed Nazri

KUALA LUMPUR: Malaysia mempunyai hubungan tidak langsung dengan Hamas sebagai parti pilihan rakyat Palestin kerana akur dengan ketetapan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang tidak mengiktiraf gerakan itu, Dewan Rakyat dimaklumkan pada Selasa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata sebagai anggota PBB, Malaysia terpaksa akur dengan syarat yang dikenakan termasuk mengiktiraf adanya sebuah negara, iaitu Israel.

"Oleh kerana Hamas di dalam artikel penubuhan parti itu mempunyai hasrat pertamanya sudah tentu tidak mengiktiraf Israel, keduanya berusaha untuk menghapuskan negara Israel, ini satu perkara yang tidak diterima oleh PBB.

"Malaysia merupakan ahli kepada PBB, kita sebenarnya tidak ada pilihan melainkan untuk tidak mengiktiraf Hamas ini, tetapi kita mempunyai hubungan secara tidak langsung dengan Hamas sebagai sebuah parti yang menguasai atas pilihan rakyat Palestin untuk menubuhkan kerajaan," katanya.

Mohamed Nazri berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul tergempar Parlimen Malaysia yang mengecam sekeras-kerasnya serangan ketenteraan Israel ke atas wilayah Palestin di Gaza yang Mengorbankan nyawa rakyat Palestin.

Mohamed Nazri menjawab saranan Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) supaya Parlimen mengiktiraf Hamas.

Katanya Kementerian Luar memaklumkan pada masa ini Hamas dan Fatah sedang berusaha ke arah satu pembentukan kerajaan perpaduan nasional, dan beberapa rundingan telah dijalankan antara kedua-dua pihak untuk mengadakan pilihan raya Palestin.

Katanya Malaysia perlu berhati-hati dalam perkara ini kerana yang lebih penting ialah menyelesaiakan masalah Palestin, dan bukan masalah sama ada suatu parti politik itu diiktiraf atau tidak.

"Sama ada ia diiktiraf oleh kita atau tidak, ia tetap kerajaan sebab itu bagi kita kerajaan, yang penting 'substance', iaitu kita memberi dukungan dan sokongan kepada Palestin untuk menjadi bukan saja sebagai satu entiti, tetapi akhirnya sebuah negara pemerhati dan seterusnya negara merdeka dan berdaulat," katanya.

Usul itu yang dibentangkan oleh Mohamed atas cadangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kemudian diluluskan sebulat suara oleh penyokong kerajaan dan pembangkang. Seramai 10 anggota parlimen daripada Barisan Nasional (BN), pembangkang dan bebas membahaskan usul tersebut.

Semasa menggulung, Mohamed Nazri berkata Perdana Menteri telah mengetengahkan isu itu kepada Presiden Amerika Syarikat Barack Obama semasa pertemuannya dengan pemimpin tersebut pada Selasa, sempena Sidang Kemuncak Asean yang sedang berlangsung di Phnom Penh, Kemboja.

"Perkara utama yang diketengahkan oleh Perdana Menteri kepada Presiden Obama ialah tentang perlunya keganasan Israel terhadap penduduk di Gaza dihentikan serta-merta.

"Presiden Obama telah mengatakan bahawa beliau akan berusaha untuk menamatkan serangan Israel ke atas Gaza dan menghidupkan semula proses damai terutamanya penyelesaian dua negara, yang merupakan penyelesaIan adil dan berkekalan terhadap isu Palestin-Israel," katanya.

Mohamed Nazri berkata Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 19 Nov lepas juga telah menggesa supaya Majlis Keselamatan PBB mengambl tindakan serta-merta bagi menghentikan serangan ketenteraan Israel terhadap Gaza.

"Pada masa sama, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dalam mesyuarat Majlis Menteri Luar OIC (OICCFM) baru-baru ini, telah mengeluarkan satu kenyataan yang mengecam sekeras-kerasnya tindakan Israel yang mencabuli undang-undang antarabangsa dan menyebabkan penderitaan berterusan warga Gaza di Palestin.

"Dalam mesyuarat itu, delegasi Malaysia telah menyatakan pendirian negara yang mengecam serangan tentera Israel tersebut dan menggesa Majlis Keselamatan PBB untuk mengambl tindakan segera bagi menghentikan sebarang kekejaman daripada segi serangan tentera Israel ke atas rakyat Gaza di Palestin," katanya.

Beliau berkata sememangnya kesemua tindakan kejam Israel terhadap rakyat Palestin harus dilihat sebagai satu tindakan keganasan yang tidak berperikemanusiaan dan perlu dikutuk oleh masyarakat antarabangsa.

Mohamed Nazri berkata Malaysia akan meneruskan usaha menerusi badan antarabangsa seperti PBB dan OIC serta negara bersependapat untuk membuat ketetapan supaya satu pasukan pengaman ditempatkan di seluruh wilayah Palestin.

Mengenai isu konflik Palestin-Israel seperti Baitulmaqdis, pelarian, persempadanan, penempatan haram Israel di Tebing Barat, sekatan Israel ke atas Gaza dan tahanan politik, beliau menegaskan Malaysia sentiasa lantang memperjuangkan isu tersebut di platform antarabangsa bagi penyelesaian keseluruhan yang adil dan berkekalan agar sebuah negara Palestin yang berdaulat dan merdeka dapat ditubuhkan. BERNAMA

Artikel Lain