suria

Usul Tergempar Isu Palestin Dibentang Esok

KUALA LUMPUR: Usul tergempar yang pada asalnya dijadual dibentang di Parlimen pada Isnin untuk mengecam sekeras-kerasnya serangan Israel ke atas rakyat Palestin, akan dibentang esok.

Perkara itu dinyatakan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada sidang Dewan Rakyat di sini.

Terdahulu Salehuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian) bangun meminta penjelasan berhubung laporan media hari ini yang menyebut kerajaan akan mengemukakan usul tergempar mengenai Gaza.

Namun, sebaik sesi pertanyaan jawab lisan berakhir pada pukul 11.30 pagi, persidangan diteruskan dengan perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2013 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Pada Isnin, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan akan membentangkan usul itu hari ini bagi menggesa Dewan Rakyat mengambil ketetapan, antaranya mengecam sekeras-kerasnya serangan ketenteraan Israel ke atas wilayah Palestin di Gaza sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa rakyat awam Palestin.

Selain itu, usul juga bagi menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu membuat ketetapan supaya Israel menghentikan serta-merta serangan ketenteraannya ke atas Gaza melalui gencatan senjata.

Najib yang kini berada di Phnom Penh bagi menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke-21 dan Sidang-sidang kemuncak berkaitan,berkata beliau telah mengarahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz untuk membentangkan usul tergempar itu. - BERNAMA

Artikel Lain